PERANAN IBU BAPA MENJELANG PEPERIKSAAN

Berdasarkan info yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, 18 hari lagi peperiksaan UPSR akan dijalankan, PMR 40 hari, manakala SPM pula 75 hari lagi.

Sebagai ibu bapa, tentunya kita mahu melihat anak-anak yang terlibat berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan tersebut.  Dari awal-awal lagi pelbagai koleksi buku rujukan serta latih tubi dibeli bagi membantu memudahkan anak-anak ini belajar serta mengulangkaji. Tidak cukup dengan itu, mereka dihantar ke kelas-kelas tuisyen berbayar pada luar waktu persekolahan. Bagi yang lebih mampu, ada ibu bapa yang sanggup mengupah tenaga pengajar  datang ke rumah untuk memberi tuisyen persendirian kepada anak. Apa-apa sekali pun usaha yang dilakukan, semuanya adalah demi masa hadapan anak-anak. Mak bapak mana tak sayang anak oiii .. 😉

Apabila tarikh genting itu semakin hampir, peranan ibu bapa menjelang peperiksaan yang jika dimainkan secara efektif, insyaAllah akan dapat membantu anak-anak menduduki peperiksaan dengan lebih tenang dan bersedia.

Di bawah ni, saya senaraikan beberapa tips atau panduan yang mungkin boleh diikuti jika sesuai dengan anda. Peranan ibu bapa menjelang peperiksaan ini meliputi pelbagai aspek seperti persediaan fizikal, mental dan sebagainya. Sekadar satu cadangan dan perkongsian berdasarkan pengalaman sendiri sebagai ibu, guru serta pemerhatian daripada pengalaman rakan-rakan ibu yang lain.

  • Sokongan moral

Beri kata-kata semangat serta ucapan-ucapan positif yang boleh merangsang mereka ( anak-anak ) agar terus berusaha, tidak mudah mengaku kalah dengan kegagalan-kegagalan atau kelemahan sebelumnya.  Biar selemah mana pun pencapaian mereka, ibu bapa sangat perlu mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata bersifat negatif serta ungkapan-ungkapan yang boleh menyebabkan mereka berasa ‘down ‘ saat peperiksaan semakin hampir.

  • Solat hajat, bacaan Yassin serta doa

Lakukan solat hajat dan bacaan Yassin setiap hari sehingga selesai kertas akhir peperiksaan. Doa berterusan dari ibu bapa untuk anak-anak adalah doa terbaik yang mudah ‘diangkat’ oleh Allah SWT. Lebih afdal, ajak mereka bersama membaca surah Yassin dan bersolat jemaah. Galakkan juga agar anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan ini agar membiasakan diri membaca Al-Quran dahulu sebelum memulakan sesi ulangkaji.

  • Pantau jadual ulangkaji

Langkah ini perlu untuk memastikan mereka memilih masa sesuai untuk mengulangkaji agar tidak menjejaskan masa tidur / istirehat serta kesihatan mereka.

  • Pantau pemakanan

Pastikan mereka makan makanan yang bagus untuk kesihatan tubuh dan minda. Antara makanan yang digalakkan adalah kismis, delima, bendi dan sebagainya. Dahulu, dalam satu kajian pernah dikhabarkan bahawa bendi sangat efektif dalam membantu kecerdasan otak. Seboleh-bolehnya elakkan makanan dalam tin, makanan berjeruk , minuman tinggi kafien, minuman berkarbonat serta makanan segera yang banyak mengandung ( tiada istilah mengandungi dalam Kamus Dewan sebenarnya ) bahan pewarna, pengawet serta MSG. Hadkan minuman sejuk untuk mengelakkan mereka terkena serangan batuk menjelang hari-hari peperiksaan

  • Hadkan masa …

bagi aktiviti menonton televisyen, bermain game serta kegiatan lain yang melekakan ..

  • Kawalan sementara

Disyorkan agar ‘pegang’ buat sementara gajet-gajet canggih  yang dimiliki oleh anak-anak agar mereka tidak leka dengannya sehingga mengabaikan persediaan menghadapi peperiksaan.

  • Luangkan masa,tunjukkan kebersamaan

Temani anak mengulangkaji dengan berada di sisi mereka. Tak ada gunanya beria-ia menyuruh anak mengulangkaji manakala kita suami-isteri riuh-rendah bergelak ketawa melihat ” Hantu Kak Limah Balik Rumah ” . Bunyi-bunyian dari tv serta gelak-ketawa kita silap-silap gaya akan menghilangkan terus tumpuan serta mood mereka untuk mengulangkaji.

  • Ruang ulangkaji

Sediakan ruang ulangkaji yang selesa, mudah dipantau, pengudaraan  serta pengcahayaan yang cukup. Jangan pandang mudah hal sebegini.

  • Peralatan/ alat tulis mencukupi

Pastikan semua keperluan pembelajaran yang mereka perlukan ini mencukupi bagi memudahkan mereka. Persediaan peralatan yang mencukupi juga boleh dilihat sebagai satu bentuk sokongan daripada ibu bapa.

  • Suplemen  minda

Terdapat banyak produk makanan minda yang boleh dipilih di pasaran. Pemberian produk minda ini dilihat sebagai satu bentuk ‘perang psikologi’ bagi membantu meningkatkan keyakinan dan rasa percaya diri anak-anak 😀

Ok, demikian saja serba-sedikit tips atau langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa menjelang peperiksaan. Kesesuaiannya bergantung kepada iklim di rumah masing-masing . Bertindak dahulu agar kita tak menyesal kemudian hari !

 

 

 

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *