Kematian itu janji Allah yang pasti. Dan kami redha Ya Allah.
Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan,bulan berganti tahun. Sedar-sedar sahaja mentari Jun 2020 sudah pun muncul. Betapa masa cepat benar berlalu merakam episod-episod suka duka ke dalam layar kehidupan.
2020 melakar banyak perkara duka dalam hidup kami sekeluarga. Paling menyedihkan apabila lelaki pertama dalam hidup kami adik beradik kembali ke pangkuan Allah SWT. Pergi tanpa sebarang pesan sendirian.
Senja sebelum Maghrib 16 Mac 2020 ( Isnin ), 2 hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP ) 2020 bermula , ayah rebah di sawah ketika bersiap-siap pulang ke rumah. Pemergian yang mengejutkan ini tidak kami jangka kerana keadaan ayah yang sangat sihat walaupun sebenarnya ayah memang pernah terkena serangan jantung minor 6 tahun lepas.
Terkilan sejenak kerana petangnya selepas solat Asar, kelibat ayah menunggang motosikal kelihatan melepasi halaman rumah. Itu lah kali terakhir saya melihat ayah, 2 jam setengah sebelum kejadian.
Allahu , pedih dan perit yang tidak tertanggung melihat jasad ayah kaku dihantar landrover polis. Walaupun terasa seperti bermimpi melihat semua ini sekelip mata,namun kami sekeluarga redha dengan ketetapan Allah.
Allahu akbar.. betapa Allah lebih mengetahui segala-galanya. Kematian adalah rahsia Allah. Benarlah kematian itu janji Allah yang pasti . Dan setiap yang tersurat dan tersirat itu pasti punya hikmah dan iktibar tersendiri.
Alhamdulillah, segala urusan memandikan dan mengafankan jenazah ayah sehingga kepada urusan solat jenazah dan pengebumian ayah berjalan dengan sangat cepat dan mudah.
Ya Allah kami redha dengan ujianMu, kami redha dengan ketetapanMu. Berehatlah ayah dengan aman dari segala kekalutan dunia. Doa kami yang tidak pernah putus semoga jasad dan roh ayah Engkau lindungi dari azab kubur dan juga api neraka. Moga roh ayah Engkau tempatkan bersama para solehin dan moga syurgalah selayaknya untuk mu ayah. Amin,Amin,Amin Ya Rabb.
Syawal 2020 ini sepi dan suram , seperti sepi dan suramnya Ramadhan yang baru berlalu.
Apapun, Alhamdulillah kami bersyukur Ya Allah, emak masih di sisi.. Alhamdulillah.