October 31st, 2009
| Sampai bila nak harapkan Petronas tanggung ekonomi negara? |
|
Posted on Thursday, October 29 @ 08:08:53 PDT by paktam
Oleh MOHD RASHIDI HASSAN KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri yang jug Berucap membahaskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat 26 Oktober lepas, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menegaskan, kerajaan tidak berupaya melonjak ekonomi ke tahap yang boleh menggandakan penjanaan pendapatan.
Katanya, kerajaan Barisan Nasional terlalu bergantung kepada komoditi, petroleum, pembuatan dan perkilangan yang tidak mempunyai kelebihan dari segi kos efisiensi berbanding negara-negara membangun lain. “Kerajaan hilang daya kreatif dan inovatif untuk menambah pendapatan negara kerana terlalu bergantung kepada pendapatan industri petroleum. “Bagaimana kerajaan dapat membimbing rakyat agar berdaya kreatif dan inovatif untuk meningkat kepada berpendapatan tinggi?” soal beliau. Anwar berkata, berdasarkan kepada fakta, bagi tahun 2008, kerajaan memperuntukkan RM177 bilion yang mana RM74 billion (42 peratus) disumbang oleh Petronas. Ini katanya, tidak termasuk hasil dari syarikat-syarikat industri petroleum lain. “Bayaran yang dibuat oleh Petronas kepada kerajaan meningkat dua kali ganda dari tahun 2005 hingga 2009, sedangkan rizab petroleum dan gas kita tidak banyak berubah dan kos operasi meningkat 3 kali ganda dalam tempoh yang sama,” dedah beliau, Anwar turut membidas kegagalan BN menguruskan hutang negara yang semakin meningkat. Katanya, hutang negara meningkat 18.3 peratus daripada RM306.4 bilion pada tahun 2008 kepada RM362.5 bilion tahun 2009 dan sejak 2006 hutang negara meningkat 49.7 peratus daripada RM242.2 bilion. Dalam masa yang sama katanya, peratusan hutang negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 41.5 peratus pada tahun 2008 kepada 52.4 peratus tahun 2009. Anwar turut mempersoalkan sama ada bajet yang dibentangkan Najib, benar-benar memberi kebajikan kepada rakyat. “Kuasa membeli rakyat merosot. Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan tempatan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk? soal beliau. Tambah malang katanya, Malaysia hanya mencatat kemasukan pelaburan langsung asing sebanyak RM3.6 billion berbanding RM19.7 billion tahun lepas. “Jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya. “Dalam laporan kewangan Petronas, syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 billion pada tahun 2008 dan bertambah kepada RM22 billion tahun 2009. “Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? Rakyat atau syarikat pemegang konsesi? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang RM815 seorang,” tegas Anwar. |
Posted in Uncategorized | Comments (0)
October 31st, 2009
| Wawancara eksklusif dengan Nizar:Kisah benar 28 Oktober |
|
Posted on Friday, October 30 @ 13:30:06 PDT by paktam
SIDANG Dun
Walaupun jalan penyudah iaitu dengan membubarkan Dun dicadangkan dan diminta 90 peratus warga Perak, namun kerajaan BN Perak yang diterajui Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir masih berkeras.Membincangkan pendirian Pakatan Rakyat Perak dalam isu dua sidang Dun dalam satu dewan pada tarikh yang sama, keabsahannya diperkatakan oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin kepada Wartawan Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB bersama TVAntara ketika diterjah di Lobi Parlimen pada 29 Oktober lalu.Ikuti telahan Nizar. Nizar : Saya tidak mahu membayangkan bagaimana nanti di Malaysia kita lihat di lobi ini berkeliaran polis merata-rata dan dalam dewan (dewan rakyat) nanti penuh dengan samseng-samseng untuk menjaga dewan, saya tak mahu membayangkan hal ini berlaku, tetapi di Perak berlaku, sebagaimana 28 Oktober dan 7 Mei lalu dengan Sivakumar yang diheret dari tempat duduknya selaku speaker, dengan anggota polis mengawal. Sementara terbaru sidang pada 28 Oktober pula samseng dipakaikan dengan baju awam bukan 15 tetapi 22 orang, yang itu di hadapan yang kawal Ganesan, di belakang yang kawal kami masih banyak, kami ditahan. Dengan 28 orang Adun kami ditahan oleh check point polis sebanyak lima kali, cuba bayangkan, ini seolah-olah sengaja dibuat agar kami tak boleh sampai masuk jam 10.00 pagi, sebelum kami dapat masuk ke pagar besar, kami dicheck lagi dan selepas masuk dalam gate, kami ditahan lagi oleh polis yang lain, mereka mahu rampas baju jubah Speakar, kami beredar keluar sebentar. Kami masuk semula, dan ditolak ke tempat kereta di bawah agar tak dilihat dan disitulah mereka jalankan operasi mencekik Sivakumar, saya berada di sana bersamanya, ini satu tindakan yang amat memalukan. Kalaulah dinafikan oleh Ketua Polis Perak dan KPN dan dinafikan oleh Menteri KDN dan mana-mana, ini satu pembohongan yang jelas, kami tak boleh terima pembohongan ini. Saya lihat seorang ASP yang merampas songkok Sivakumar dihadapan kami, kenapa dia pulak yang melakukan ini. Dia merampas di depan kami, yang cekik ini berlaku, dan Sivakumar juga dihentak perutnya, kerana mereka nak ambil jubah Sivakumar. Ini jelas menunjukkan bagaimana kejam dan ganasnya mereka dihadapan kami, mereka buat ini di parkir kereta, pintu lain dikunci dan kami dibenarkan masuk dengan satu laluan, barangan kami iaitu notebook dan kamera video dirampas ini berlaku dalam Malaysia iaitu di Perak dan bukan di Myanmar. Apa yang berlaku di Perak ini boleh berlaku di negeri-negeri lain, ini mereka boleh lalukan di mana sahaja.Walaupun kami tertekan kami tetap masuk dewan dan mulakan persidangan, walaupun tak dapat duduk ditempat kerajaan tapi kami duduk di tempat pembangkang, kita terus jalankan sidang dengan Sivakumar mempengerusikannya. Kami telah tangguhkan sebentar pada jam 11.20. Apa yang berlaku 28 Oktober itu kami laksanakan tugas kami, cuma kami telah ditahan pihak berkuasa yang ratusan anggotanya dengan alat-alat mereka dengan jentera mereka dan kenderaan mereka seolah-olah Perak macam zon perang, itulah yang terjadi, dan kemelut ini tak boleh selesai kecuali dengan satu keputusan biarkan rakyat Perak memilih semula kerajaan negeri dengan pilihan raya kecil. Soalan : Dua sidang Dun berjalan sekali, apakah kesan dan bagaimana kedudukannya? Nizar : Sidang Dun berjalan serentak dengan dua speaker dalam satu dewan jalan serentak oleh kerana kami dah membahas dan lulus tiga usul itu, maka speaker Sivakumar telah menyatakan penagguhan dewan ke satu tarikh yang bakal diberitahu kelak. Dalam sidang yang dikendalikan oleh Sivakumar, Adun-adun Pakatan Rakyat telah meluluskan tiga usul, pertamanya “Supaya semua kem program latihan khidmat negara dan program luaran lain digantung sehingga selesai siasatan tragedi di Kampar. Keduanya menerima laporan Ketua Audit Negara bagi Perak, sewaktu pentadbiran Pakatan; dan seterusnya mencadangkan melantik bekas pengerusi KeADILan Perak, Osman Abdul Rahman sebagai senator bagi mewakili negeri di Dewan Negara.Ini semua telah kita luluskan. Maka selepas itu, kami pun keluar dari dewan, kami keluar dan mereka BN meneruskan dewan dengan saya difahamkan belanjawan yang dibentangkan oleh BN dalam masa yang sama mereka meluluskan tanpa bahas, dan mereka juga meneruskan dengan soalan lisan serta beberapa rang undang-undang , tidak sampai dua jam seluruhnya dibuat dengan tergesa-gesa tanpa mengikut tradisi sebelum ini. Jadi apa yang saya nak nyatakan ialah BN agak tersepit kerana mereka mesti adakan sidang tersebut sebelum tarikh yang akhir iaitu sebelum 7 November, dan mereka ini seolah-olah mengyunakan sidang haram ini untuk menjalankan apa sahaja dalam konteks lulus dan mereka luluskan apa sahaja bagi mereka agar speaker mereka yang haram itu mengesahkan kedudukannya, sementara MB mereka yang haram mengesahkan kerajaan kerajaan dan mengesahkan belanjawan mereka. Itulah sasana yang ada iaitu satu persidangan yang sah dan satu persidangan yang haram iaitu sidang yang sah ialah sidang yang Speaker Sivakumar (Adun Tronoh) yang kendalikan, sementara sidang yang tidak sah ialah sidang yang dikendalikan oleh Speaker haram, Dato’ R Ganesan. Bagi saya persidangan yang mereka jalankan itu tak sah dan segala-gala yang mereka bincangkan, bentangkan atau bahaskan itu semuanya tidak sah kerana speaker yang kendalikan itu tidak sah, jadi apa yang kami bincang ialah yang sah, itu saya rasa komen secara jelas ringkas. Soalan : Mengenai campur tangan mahkamah yang gunakan exparte dalam melarang peserta dan pihak yang masuk ke bangunan Dewan Undangan Negeri Perak, apakah pandangan Dato’ Seri? Sebenarnya ia perkara ini tidak timbul, tetapi oleh kerana mereka telah menggunakan mahkamah untuk membuat satu perisytiharan dalam lingkungana 50 meter yang mereka tak boleh hampri bangunan itu tak sepatutnya dalam perkara exparte kerana maklumat untuk membuat exparte ini hanyalah jika ia menuju kepada keadaan specifik, kerana ini hal yang diketahui umum. Mana mungkin kita tak boleh pergi sebab tiga minggu lagi kita telah diberitahu dengan persidangan ini, tak silap saya dari speaker haram dan sah tarikhnya dalam 13 Oktober iaitu dua minggu sebelum ini. Jadi apakah rasionalnya untuk menggunakan mahkamah bagi mengeluarkan arahan agar pengisytiharan exparte ini menunjukkan mahkamah digunakan oleh kemungkinan pihak tertentu atau pihak pimpinan BN. Iinilah penggunanan dan mempengaruhi mahkamah bagi bagi mengikuti telunjuk BN. Soalan : Adakah Dato Seri melihat insiden 28 Oktober lalu lebih teruk berbanding insiden di tenpat yang sama pada 7 Mei lalu? Nizar : Dari segi penghormatan rakyat kepada PR sudah tentilah kita memenuhi segala yang kita hasratkan, Umno/BN dengan mereka lantik bentara dengan 22 orang yang tidak dikenali mengawal Ganesan agar Ganesan terus duduk di kerusinya walaupun beliau adalah seorang spekar yang tidak sah. Anggota polis digunakan semahunya dengan menahan kami di luar dengan mengasari sepaker yang sah, nampak seolah-olah wujudnya satu suasana ‘negara polis’ sama semacam insiden sidang dun pada 7 Mei lalu. Tetapi oleh kerana kali ini kami telah menjangkakan bahawa mereka harapkan kami buat kecoh, itu sebab mereka sabotaj kami dengan hentikan lif, kunci padlock pintu-pintu masuk dan ini membahayakan banyak nyawa jika berlaku kebakaran. Soalan : Apa sebabnya mereka lakukan begitu? Nizar : Semua ini mereka sengaja buat dan lakukan hanya untuk kecoh, dan semua itu dalam pembacaan (agakan) kami dan kami telah menduga, kami kawal walaupun ada perang mulut - itu biasa - jadi kami juga mengawal kedudukan kami supaya tak nampak kami masuk dalam perangkap Barisan Nasional (BN). Jadi apa ayang saya lihat itu sebenarnya dalam dewan nampak macam tak kecoh, tetapi suasana di luar dewan sebenarnya lebih parah lagi dari 7 Mei lalu, oleh kerana mereka gunakan anggota polis untuk merampas jubah speaker yang sah (V.Sivakumar). Sebenarnya jubah spekara ini hanyalah satu perkara yang ‘konvensional’. Saya pelik kenapa ada arahan polis untuk waran dan tangkap Sivakumar bagi mengambil balik jubah itu, sedangkan Sivakumar tidak dapat langsung nak duduk di kerusinya sebagai Speaker yang sah,. Ini saya tak nampak mana rasionalnya tindakan polis itu, jubah itu simbol sahaja, kenapa polis beria-ia merampas jubah itu sehingga mencekik Sivakumar. Ini saya nampak macam satu tindakan kebudak-budakan, sementara beberapa adegan kekasaran terhadap YB Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) dan Chang Meng Kai agak keterlaluan. Jadi saya amat kesal dengan insiden ini yang menggambarkan bahawa hal ini boleh berlaku dimana-mana sahaja termasuk di Dewan Rakyat dan Dun-dun yang lain. Soalan : Bagaimana pula perkembangan mengenai kes perbicaraan di Mahkamah Persekutuan? Nizar : Pada 5 November ini kami akan berada di Putrajaya di Mahakamah Persekutuan, kita mahukan full bench panel hakim kerana kes Perak ini kes besar yang mesti diambil oleh hakim semaksimanya dalam membuat keputusan agar kes ini jadi kes yang menjadi perujuk kepada kes-kes nantinya. |
Posted in Uncategorized | Comments (0)
October 31st, 2009
Oleh Prof Abd Aziz Bari
Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia. Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.
Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan. Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.
Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.
Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.
Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku. Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.
UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO. Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?
Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang. Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.
Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu. Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.
Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.
Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan dating. Dalam senario politik yang ada sekarang pastinya UMNO gian hendak bertanding. Saya fikir orang Pas dan Pakatan takut sekarang. Saya dapat tahu Nasrudin Hassan ada berkata tidak takut berlengan di Bagan Pinang. Tetapi inikah jenis kepemimpinan yang hendak kita pamerkan?
Oleh kerana isu besar yang hendak ditangani berkait dengan imej dan persepsi saya fikir elok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pecat Hassan Ali dari kerajaan kerana kesalahannya cukup besar dan cukup jelas: melanggar perlembagaan negara dan negeri. Memang ini tak pernah dilakukan oleh UMNO Barisan. Tetapi inilah yang hendak ditunjukkan; yakni bahawa Pakatan serius dalam mendaulatkan perlembagaan yang menjadi tunjang dan nadi kepada demokrasi dan apa sahaja yang bersifatkan merakyatkan di negara ini. Saya tak fikir ada siapa yang boleh menghalang. Lagipun bukankah telah ada ketetapan yang menyekat gelagat seperti yang dilakukan oleh Hassan Ali itu? Di sisi undang-undang itu kuasa mutlak Khalid. Kalau Khalid tidak buat dia boleh dipersalahkan kerana tidak menjunjung perlembagaan.
Berbalik kepada Pas Datuk Seri Azizan Razak dikatakan tidak berminat. Mungkin itu cara orang politik: malu tapi mahu. Lagipun takkan dia hendak kata mahu. Pas perlu paksa Azizan. Lagipun dalam parti ramai yang kuat-kuat dan bertenaga. Khalid Samad contohnya. Dan ramai lagi.
Oleh sebab yang menjadi masalah ialah imej maka mereka yang terpalit dengan imej-imej yang negatif itu kenalah berundur. Ini bukan soal sudah tak buat kerja itu atau sudah bertaubat. Yang penting imej parti sudah rosak dan dalam politik hukumannya ialah letak jawatan dan beri laluan kepada orang lain. Saya tahu orang Pas ada yang marah. Tetapi mereka kena fikir bahawa itulah risiko yang perlu diambil apabila parti dirakyatkan. Dahulu mereka ejek UMNO. Sekarang baru mereka tahu susahnya mentadbir parti yang besar. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah ada orang Pas yang berfikir seperti zaman Pas masih parti kecil dahulu. Mereka inilah yang gagal meletakkan keutamaan. Bagi mereka yang berfikiran sempit ini apa sahaja cadangan untuk memperbaiki parti akan dilihat sebagai agenda anasir UMNO yang menyusup ke dalam parti.
Apakah Pas akan pecah? Saya tak fikir begitu. Dan saya tak fikir saya yang kerdil ini boleh menggoncang Pas. Lainlah kalau Pas ini harimau kertas. Sejarah politik ini cukup jelas bahawa parti serpihan tak lama. Pas bukan parti serpihan. Kalau pemimpin tertentu disingkirkan pun saya tak fikir akan ada yang ikut. Mungkin mereka akan merajuk beberapa hari. Lepas itu mereka akan balik. Kalau dalam UMNO pun begitu apalagi dalam Pas. Lagipun para pemimpin bermasalah yang disebut oleh Nik Aziz itu bukan hero; kebanyakannya sakit nak menang pilihan raya. Jadi kalau letak jawatan atau disingkirkan pun tidak akan ada kesan pada parti. Orang Pas tak perlulah percaya ramalan dan analisis media UMNO.
Ada juga yang mempersoalkan tidakkah penyingkiran bermakna membelakangkan keputusan perwakilan muktamar yang membuat pemilihan? Saya fikir ini tidak timbul kerana kita bukan mempertikaikan keputusan pemilihan. Kita mengatakan ada di antara yang terpilih telah gagal. Dan kita cadangkan supaya diminta berhenti atau letak jawatan. Kalau Pas berdegil dan tidak mahu membuat anjakan tunggulah keputusan rakyat nanti.
Apakah perubahan drastik itu semestinya menyelesaikan kelesuan? Kita tidak tahu. Tetapi apa yang penting sesuatu perlu dilakukan kerana jika Pas tidak berbuat apa-apa ia telah melakukan dua kesalahan; yakni sudah sedar ada sesuatu yang tak kena tetapi tidak berbuat apa-apa. Apa pun pemimpin baru itu akan diadili juga. Tidakkah kita beroperasi dalam sistem demokrasi?
Posted in Uncategorized | Comments (0)
October 31st, 2009
Oleh : Speaker V.Sivakumar.
Dalam sejarah negeri Perak tidak pernah belanjawan diluluskan dalam masa 20 minit. Pada 28/10/2009 BN telah berjaya mencipta satu lagi lembaran sejarah dengan meluluskan ‘Bajet Cocacola’ dalam masa 20 minit. Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan BN yang tidah tidak sah di negeri Perak. Satu daripada sebabnya ialah ia dibentangkan dihadapan seorang Speaker yang tidak halal. Tambahan pula, Dato Seri Zambry dan barisan EXCOnya juga tidak patut berada dalam dewan kerana mereka telah digantung daripada menghadiri persidangan oleh Jawatankuasa Hak & Kebebasan. Begitu juga, 3 orang bekas Ahli-ahli Dewan yang telah meletak jawatan juga berada dalam dewan ketika bajet dibentangkan.
Walaupun kami tidak mengiktiraf bajet BN, apakah yang menghalang BN daripada membuat persidangan bajet itu mengikut prosedur yang betul? Mereka meluluskan bajet dengan tergopoh-gapah. Ia diluluskan dalam masa 20 minit sahaja, itulah sebabnya ia boleh digelar sebagai bajet Cocacola. Kami tidak menghalang mereka daripada membentangkan bajet. Lagi pun, beratus-ratus polis berada di dalam dan di luar untuk memberi perlindungan kepada BN untuk membentangkan bajet tersebut. Tambahan pula, 22 orang ‘bodyguard’baru yang digelar ‘bentara sementara’ dilantik untuk memberi perlindungan kepada Dato R.Ganesan. Dalam situasi yang cukup terkawal, kenapa BN gagal membuat bajet yang sempurna?
Pada hemat saya, ada 2 sebab kenapa BN terpaksa meluluskan ‘Bajet Cocacola’.
1) Mereka sendiri mula yakin bahawa kerajaan mereka adalah tidak sah. Satu kerajaan yang sah tidak akan membentangkan bajet segera dalam keadaan terdesak. Pada tahun 2008, saya mengendalikan bajet selama 4 hari. Ini adalah kerana Kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang sah di Negeri Perak. Bayangkan bajet Najib diluluskan dalam 20 minit di Parlimen. Bolehkah kita terima bajet seperti itu? Jika tidak, bagaimana kita boleh terima bajet 20 minit yang diluluskan oleh BN Perak? Ini adalah satu bentuk penyelewengan wang rakyat. Ia tidak diluluskan dengan cara atau prosedur yang betul. Ahli-ahli Dewan Negeri Pakatan Rakyat tidak memgambil bahagian dalam pembentangan bajet tersebut. Persoalannya berapa orangkah Ahli-ahli Dewan Negeri BN yang mengambil bahagian dalam perbahasan bajet itu? Kenapa mereka tidak mengambil bahagian dalam perbahasan? Adakah Ahli-ahli Dewan Negeri BN yang secara fizikalnya berada di situ juga tidak mengiktiraf atau boikot bajet yang dibentangkan oleh Dato Seri Zambry Abdul Kadir? Pada tahun yang lepas saya memberi peluang sekurang-kurangnya 20 minit untuk setiap ahli-ahli Dewan Negeri untuk membahaskan bajet. Dato Seri Tajol Rosli, mantan Menteri Besar Perak dibenarkan untuk membahas bajet yang dibentangkan oleh Dato Seri Nizar selama hampir 2 jam. Tetapi, pada tahun ini BN telah meluluskan bajet keseluruhannya dalam tempoh 20 minit. Adakah Dato Seri Zambry Abdul Kadir membuat pengulungan perbahasan bajet? Jika tidak, bagaimana kita boleh mengiktiraf Bajet 2010 yang diluluskan oleh BN dalam Dewan Negeri Perak. Nampaknya BN hanya mengkaburi mata rakyat dengan membuat satu bajet dengan cara yang tidak betul. Bagi mereka, proses, prosedur dan undang-undang adalah tidak penting. Mereka mahu kekal berkuasa secara haram walupun ia tidak menepati undang-undang.
2) Satu lagi sebab kenapa Bajet Cocacola diluluskan ialah Dato R.Ganesan yang memduduki kerusi Speaker secara haram tidak tahu untuk mengendalikan satu persidangan bajet yang sebenar. Jika dia fasih dalam undang-undang dan perintah-perintah tetap, sudah tentu dia tidak akan mencemar persidangan tersebut. Beliau telah mencemari dewan pada persidangan 7 Mei dengan memanggil polis masuk ke dalam dewan dan mengheret keluar Speaker yang sah. Kali ini beliau mencemari dewan sekali lagi dengan membenarkan bajet diluluskan dalam masa 20 minit. Jika beliau adalah Speaker yang sah dan menghormati undang-undang, sudah tentu beliau tidak akan tunduk kepada arahan eksekutif untuk bertindak di luar batasan kuasanya. Walau bagaimanapun, beliau boleh memohon kepada ‘Malaysia Book of Record’ kerana pencapaiannya mengendalikan persidangan Bajet yang paling pantas di Malaysia.
Kerajaan BN terpaksa meluluskan bajet 20 minit dengan kawalan polis dan bentara-bentara baru kerana mereka takut kepada bayang-bayang sendiri. Satu kerajaan yang sah dan diterima oleh rakyat tidak perlu takut seperti ini. Sampai bila BN akan bertahan dengan suasana ketakutan? Bubarkan DUN perak dan adakan pilihanraya kecil supaya rakyat boleh menentukan kerajaan yang sah dan menamatkan kemelut politik yang berpanjangan ini.
Posted in Uncategorized | Comments (0)
October 31st, 2009
IPOH .31 Okt. :- Demi mandat rakyat yang telah diserahkan kepada Pakatan Rakyat di Perak, saya menegaskan tidak pernah meletakkan jawatan Menteri Besar Perak. Demikian penegasan YAB Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, DS. Muhammad Nizar Jamaluddin semasa membentangkan kertas kerjanya dalam Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan disini pagi ini.
Hadir sama dalam Konvensyen itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guang Eng, YAB Menteri Besar Selangor, YAB. Tan Sri Khalid Ibrahim, semua Pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Perak, Semua Ahli Parlimen Perak , ADUN Pakatan Rakyat Perak, semua Pemimpin dan perwakilan Pakatan Rakyat dari parti PAS, PKR, dan DAP.
Dianggarkan sejumlah 600 orang perwakilan yang hadir memenuhi dewan tempat konvensyen diadakan.
Konvensyen sehariyang julung kali diadakan itu akan menyaksikan pembentang kerta kerja yang berikutnya oleh Ketua menteri Pulau Pinang dan Menteri besar Selangor.
Posted in Uncategorized | Comments (0)
| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Oct | ||||||
| 1 | 2 | 3 | 4 | |||
| 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 |
| 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 |
| 19 | 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 |
| 26 | 27 | 28 | 29 | 30 | 31 | |