Assalamualaikum dan Salam sejahtera

Genap seminggu anak-anak kita bercuti sempena cuti sekolah akhir tahun. Terasa cepat betul masa berjalan bukan ? Ada baki 4 minggu lagi sebelum sesi baru persekolahan 2015 bermula.

Bagi anak-anak yang sudah pun lama menjejakkan kaki ke sekolah, cuti panjang dan kemudian kembali semula ke sekolah adalah satu perkara biasa. Namun bagi yang baru pertama kali akan melangkah ke alam persekolahan, ini merupakan satu proses baru yang pasti menimbulkan pelbagai rasa dan reaksi.

Keterujaan mungkin jelas kelihatan pada wajah mereka. Kasut sekolah dan beg sekolah pasti diulang cuba dan cuba. Senario yang saya alami lama bertahun dulu. Sekarang mereka sudah di bangku sekolah menengah …. jadi ‘feel’nya dah lama reda. Hehe, pecah rahsia rupanya dah ‘dewasa benar’ penulis @ owner blog ye 😀

Itu cerita keterujaan anak-anak. Mungkin lain pula ceritanya dalam kalangan ibu bapa. Bagi ibu bapa yang anaknya bakal memasuki alam persekolahan, tentu ada debar di dada. Takut dan risau kalau-kalau mereka buat hal, menangis pada hari pertama persekolahan. Atau pun risau memikirkan bagaimana caranya untuk melatih anak bangun pagi agar mereka tidak meragam pada pagi hari.

Sumber : GOOGLE – Melatih anak bangun pagi

Sejujurnya saya sendiri tidak pasti bagaimana cara paling tepat dan terbaik melatih anak bangun pagi. Pastinya setiap ibu bapa ada cara tersendiri. Mungkin si A begini caranya, manakala si B pula begitu caranya. So, tak bolehlah nak mengatakan cara orang ini betul manakala cara si polan itu pula salah. Masing-masing ada caranya.

Masalah mengejutkan anak bangun pagi terutama pada hari persekolahan boleh menjadi satu cabaran yang besar jika anak sangat payah untuk dikejutkan. Boleh jadi ‘ribut taufan ‘ setiap pagi jika hal itu berlarutan untuk jangka masa yang lama.

Jadi apa yang ingin saya kongsikan di sini hanyalah berdasarkan cara kami suami isteri dalam melatih anak bangun pagi. Mungkin caranya berbeza dengan orang lain.

Bermula daripada si abang, kami melatihnya bangun pagi semenjak dia mula ‘ menumpang ‘ kelas pra sekolah. Pada ketika itu, sekolah tempat saya bertugas hanya mengehadkan kemasukan pra sekolah untuk calon yang berusia 6 tahun sahaja. Si abang ditumpangkan ke pra sekolah pada asalnya bukan kerana hendakkan dia terdedah lebih awal terhadap alam persekolahan tetapi lebih kepada mengatasi masalah pengasuh yang selalu tidak sihat. Oleh kerana tidak mahu membebankan pengasuh, jadi kami bawanya ke sekolah lebih awal.

Untuk memudahkan si abang bangun pagi, ada beberapa  langkah yang kami lakukan iaitu :

  1. Memotivasikan dirinya dengan kata-kata atau pujukan dan menerangkan sebab-sebab mengapa dia mesti bangun awal setiap pagi ( pada masa tu, kami kejutkan dia setiap hari termasuk hujung minggu pada jam 6.15 pagi ). Kata-kata ini diulang agar mindanya dapat memahami  mengapa dia mesti bangun awal pagi.
  2. Ambil kesempatan keterujaannya untuk ke sekolah dengan melatihnya bangun pagi pada waktu yang sama beberapa minggu sebelum sesi persekolahan bermula.
  3. Pastikan jadual waktu masuk tidurnya tetap setiap malam dan elakkan dia daripada berjaga lewat agar tidak keletihan keesokan paginya.
  4. Ajar dia membaca doa sebelum tidur dan mohon kepada Allah agar dipermudahkan bangun esoknya.
  5. Kejutkan dirinya tepat pada waktunya setiap hari termasuk hari cuti hujung minggu.

Itu caranya kami suami isteri melatih anak bangun pagi. Cara yang sama digunakan untuk melatih adiknya. Ya, ia bukan semudah yang disangkakan dan perlukan banyak kesabaran. Perbanyakkan doa agar mereka mudah diuruskan tika pagi hari.

Alhamdulillah  sehingga hari ini, tidak kira sama ada pada hari persekolahan atau pada hari cuti, jam 6 mereka sudah bangun. Selesai solat Subuh, punya sedikit masa untuk membaca surah Yassin atau Al-Quran … alhamdulillah !

Maaf, entri ini bukannya untuk mengajar cara bagaimana anda harus menjadi ibu bapa dengan betul.  Juga bukan entri untuk menunjuk-nunjuk kononnya kami suami isteri ini ibu bapa mithali. Bukan, bukan, bukan …. Ia hanya sekadar perkongsian. Cara kita tidak sama. Lain orang lain cara berfikir dan cara tindaknya. Seburuk atau sejahat mana pun kita, kebiasaannya terselit keinginan untuk mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah atau  orang yang lebih berguna … itulah naluri ibu bapa bukan ?!

Secara peribadinya, saya kurang bersetuju dengan tindakan sesetengah ibu bapa yang membiarkan anak bangun sesuka hati dengan alasan waktu ini adalah musim cuti atau pun kerana mereka masih kecil. Habis bagaimana dengan solat Subuhnya ?  Bila kita hendak mengajar mereka  mendirikan solat  kalau bukan dari kecil ? Lagi pun, kata orang bangun awal pagi juga merupakan salah satu amalan terbaik dalam membuka pintu rezeki.

Ok now, ambil kesempatan 4 minggu cuti sekolah yang masih ada ini untuk melatih anak bangun pagi. Lakukan tanpa jemu, insyaallah hari pertama persekolahan, anda akan dapat mengejutkannya dengan mudah dan semuanya akan berjalan dengan ‘aman damai’, mudah-mudahan 🙂

5 Comments

  1. anak-anak saya sudah terbiasa mandi pagi ke sekolah, cuti2 ni pun diorg sendiri request minta kejutkan pagi mandi dan solat sebelum ke rumah pengasuh

  2. Huhu..bagus betul..nanti boleh la sya praktikkan..bukan senang kan..betul tu.macam ank sya..cakap mesti nak kena ulang benda sama jer..huhu

  3. budak-budak ni dia kena didik dari awal baru dia mudah ikut.

  4. Bagus sebenarnya disiplin pengurusan masa ni diterapkan awal. Tak kira hari cuti atau hari sekolah, bangun awal untuk solat Subuh adalah sesuatu yang amat baik.

    Seperti kata pepatah, ”The early bird gets the worm”

  5. bangun pagi kerana mahu tunaikan solat
    jadi tak ada masalah sama ada hari sekolah atau hari cuti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *