Sebagai wanita berkeluarga , berbicara atau bercerita bab anak-anak ini memang tak dapat nak dielakkan. Apa lagi kalau dah berjumpa dengan rakan yang punya anak sebaya anak-anak kita, memang banyaklah cerita yang hendak dikongsikan. Punya anak-anak yang sebaya dengan anak-anak rakan kita, tentulah ragam atau pe’elnya pun lebih kurang saja.

Anak, seperti yang ramai sedia maklum adalah amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT. Sama ada putih atau hitam, tanggungjawab mencorakkannya terletak di atas bahu kita selaku ibu bapa.

Menangani ragam mereka memang mencabar. Kecil cara kecil, besar pula cara besar. Hai memang pening kepala dibuatnya 😐

Zaman sekarang, anak-anak membesar dalam dunia teknologi. Gajet canggih penghubung dunia maya yang tak terbatas. Cerita lah perihal menimba ikan dalam telaga, panjat pokok jambu, buat rakit guna pelepah rumbia atau main senapang bemban sekali pun ada mereka hairan ?! Dibuatnya macam dengar tak dengar je ada laa kan … Siap boleh tanya lagi “ mama panjat pokok jambu ? Macam tak percaya je … “ Ha ha ha, sabor je la .. 🙂

Haa, itu lah senarionya sekarang. Hendak tak hendak kita kena akur. Gajet canggih, permainan komputer adalah dunia realiti mereka hari ini. Tak boleh lagi nak disamakan dengan zaman kita dulu-dulu. Zaman dah berubah !

Gajet dan permainan komputer jika tak dikawal akan melekakan mereka yang kemudiannya akan memberi kesan besar terhadap perkembangan sosial dan akademik mereka. Saya percaya ramai ibu bapa berdepan perkara ini dan masing-masing ada cara tersendiri dalam menanganinya.

Cara saya menangani anak yang gilakan gajet mungkin sama dengan anda atau pun boleh jadi juga sebaliknya.

Bagi saya sendiri ada 2 cara saya menangani anak yang gilakan gajet. Pertama, saya hadkan masa untuk penggunaan smart phone, tablet atau video games. Ertinya saya tetapkan jadual bila masanya dalam tempoh 24 jam itu yang mereka boleh menggunakan gajet-gajet atau bermain permainan video . Saya tidak sesekali benarkan mereka 24 jam dengan handphone atau tablet. Saya memang kawal dan pantau penggunaanya.

Contohnya pada hari persekolahan, saya benarkan mereka menggunakan semua kemudahan tersebut hanya selepas solat Asar sehingga jam 8 atau 9 malam sahaja. Itu pun perlu siapkan kerja rumah dahulu atau buat ulangkaji, berhenti pada waktu Maghrib, dan mesti selepas baca Al-Quran dahulu.

Jadual ini sedikit longgar pada hujung minggu kerana saya tidak mahu wujud rasa tertekan dan ketegangan di antara kami dengan anak-anak dan pada masa yang sama saya juga tidak mahu anak-anak saya seperti ketinggalan  kemahiran teknologi berbanding rakan sebaya mereka.

Kejam dan konservatif ?

Biarlah apa pandangan orang sekali pun , saya tidak pernah peduli. Sebagai ibu,saya ada rasional saya sendiri. Saya tidak mahu anak saya membesar menjadi robot. Tidak tahu bagaimana berkomunikasi dengan dunia di sekelilingnya, tidak kenal alam di sekitarnya dan lebih parah lagi tidak tahu bagaimana menyeimbangkan emosi mereka tatkala berhadapan dengan cabaran hidup di luar persekitaran mereka yang boleh mendorong kepada perlakuan tidak wajar atau di luar kawalan.

Had masa sehingga jam 9 malam sahaja juga ada rasionalnya sendiri. Saya tidak benarkan penggunaan ini berlarutan hingga masuk waktu tidur iaitu sekitar jam 10.30 sehingga jam 11 malam kerana saya tidak mahu mereka tidur bersama bayangan atau imej-imej keganasan terus melekat di minda mereka.

Tak ingat di mana saya pernah baca, seorang doktor psikologi mengatakan bahawa imej-imej ganas dan apa jua interaksi bersifat negatif yang lain cenderung di bawa dalam minda bawah sedar ketika mereka hendak tidur dan juga ketika bangun tidur. Kemudian ia dengan mudah mempengaruhi pemahaman dan tingkah laku anak-anak dan menganggapnya sebagai sesuatu yang normal dan boleh diadaptasikan dalam kehidupan seharian.
Itu sebahagian perkara yang merisaukan saya.

Ok, langkah kedua dalam cara saya menangani anak yang gilakan gajet adalah dengan menggantikan semua teknologi pintar itu dengan bahan bacaan terutama novel dan majalah.

Saya dan Mr Hubby yang sememangnya gilakan buku juga akan membelikan novel untuk mereka tak kira sama ada ketika keluar ke bandar atau pun membelinya di kedai buku online. Jika di kedai buku, saya akan minta mereka pilih sendiri buku masing-masing dan jika kandungannya bersesuaian , maka kami bayarkan saja.

Pada awalnya memang mereka kelihatan seperti tidak berminat malah sentiasa menunjukkan muka masam sebagai tanda protes.Saya sedar dan perasan betul dengan tindak balas tersebut. Namun saya dan Mr Hubby tidak mengalah malah terus membelikan mereka buku cerita, novel dan majalah khas untuk mereka.

Lama-kelamaan tanda-tanda positif sudah mula kelihatan. Sewaktu jadual sekatan berlangsung hehe 😀 , jika tidak keluar bermain badminton atau berkumpul dengan anak jiran sebelah, mereka akan membaca novel sebagai aktiviti gantian.

Malah jadi satu masalah pula apabila saya kerap terpaksa mengemas apabila novel atau majalah yang dibaca berada di mana-mana. Atas katil, tepi tv , atas meja makan dan sebagainya. Biar pun penat dan rasa nak marah juga, namun itu jauh lebih baik daripada mereka berdampingan dengan gajet 24 jam.

Paling seronoknya, apabila saya kerap melihat si Hafiy terutamanya yang kerap mengulang baca novel-novel atau buku cerita tu sehingga berulang kali.

Ok, itu cara saya menangani anak yang gilakan gajet. Mungkin cara di antara setiap kita berbeza tapi saya percaya tidak ada seorang ibu bapa pun yang akan membiarkan anak mereka tersilap langkah, berjalan di landasan yang salah dan akhirnya menempuh kegagalan.

Saya tidak rela anak-anak saya menjadi hamba gajet. Anda bagaimana ? Jom lah sama-sama kongsikan pendapat …

Salam ukhwah buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. So, ada komen tak ? Jika ada, jangan segan2 untuk tinggalkan melalui ruangan komen di bawah. Kalian juga boleh gunakan borang ‘Hubungi’ untuk sebarang pertanyaan , cadangan mahupun pengiklanan ( bagi yang berminat kalau-kalau ada 😀 ). Jika sudi, follow saya sekali ye 😀 …. Terima kasih dan jemput datang lagi!

Facebook Twitter 

1 Comment

  1. bagus, kini anak saya sudah kurang dengan gajetnya, banyak main aktiviti lasak, anak lelaki banyak masa dengan bermain bola sepak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Follow Me