‘ KERING KONTANG ‘ ATAU ‘ KERING – KONTANG ‘ ?

‘ Kering kontang ‘ atau  ‘ kering-kontang ‘  ?

Sudah lama Cik Kiah selaku pemilik blog  menyimpan hasrat untuk mewujudkan satu lagi kategori dalam blog ni iaitu ‘Kelas Bahasa ‘.

Bukan bermaksud Cik Kiah ni pandai sangat bab-bab sistem bahasa, sintaksis dan segala perkara yang sewaktu dengannya. Memanglah status guru Bahasa Melayu sudah Cik Kiah sandang sejak keluar dari institut perguruan lagi, tapi itu tidak bermakna Cik Kiah sudah layak menjadi pakar bahasa.

Ini sekadar sebagai inisiatif untuk kita  bersama-sama berkongsi pengetahuan di samping membantu membetulkan apa yang salah.

Ok, tanpa membuang masa lagi jom kita mulakan kelas bahasa pertama pada hari ini 🙂

Sesuai dengan keadaan cuaca kebelakangan ini, mari kita sama-sama lihat tentang kering kontang. Antara  kering kontang ‘ atau ‘  kering-kontang ‘ , yang mana satukah yang betul ? Banyak orang keliru tentang cara penulisan rangkai kata ini sama ada perlu menggunakan tanda sempang ( – ) di antara kata kering dan kontang atau pun tidak. Adakah ia boleh dianggap sebagai salah satu bentuk kata ganda atau sekadar rangkai kata ?

Boleh kalian teka yang mana satu yang betul ?

Sebenarnya mengikut Kamus Dewan Edisi ke – 4, kedua-dua perkataan ini mempunyai maksud sama.

kering = tidak berair atau sudah tidak berair lagi

kontang = sedikit pun tidak berair atau kering sekali

Kekeliruan sering timbul tentang cara penulisannya sama ada perlu dimasukkan tanda sempang atau sebaliknya. Bagi memberi  penjelasan tentang ini, anda harus melihat dulu kepada konsep kata ganda.

Kata ganda dalam Bahasa Melayu haruslah perkataan keduanya tidak boleh berdiri sendiri atau secara mudahnya tidak mempunyai sebarang makna. Dalam situasi begini ( perkataan kedua tidak mempunyai makna ), jelas ia adalah kata ganda dan perlu ditulis menggunakan tanda sempang di tengahnya.

Jadi jika merujuk kepada Kamus Dewan Edisi ke-4, kedua-dua perkataan tersebut mempunyai makna tersendiri. Secara mudahnya ia perlu dieja kering kontang yakni tanpa tanda sempang di tengahnya.

Antara contoh ayat menggunakan rangkai kata ‘ kering kontang ‘ ialah:

  1. Hampir semua petak sawah di negeri ini menjadi kering kontang akibat kemarau panjang.
  2. Sungai di kampung saya kering kontang setelah dilanda cuaca panas melampau.

Ok lah, diharapkan agar penerangan ringkas ini dapat membantu . Jika ada silap dan salah, sudi-sudikan menegur. Sebarang pendapat juga dialu – alukan

Sumber : Soal Jawab Bahasa Dengan Munsyi Dewan – Abdul Ghalib Yunus ( Edisi 1 )

6 Comments

  1. skrg ni mmg kering kontang ni kak, syukurlah belum dicatu air lagi

    1. Author

      Ye Aju, asyik mendung jer hujannya tidak … harap2 semuanya akan kembali seperti sediakala

  2. Ok…dapat belajar penggunaan bahasa melayu yang betul..hahaha..agak keliru gak sebelum ni..tapi tak ambik cakna sangat..hehe

    1. Author

      Akak ni pun kebetulan sebab ngajor bahasa. Agaknya kalau tak jadi cikgu, tak ambil tahu juga hehe

  3. perigi lama kering kontang
    perigi baharu airnya tiada
    harimau malaya turun padang
    malam minggu lawan filipina

    1. Author

      harimau malaya turun padang
      malam minggu lawan filipina
      main kotor untuk menang
      bukan ini cara kita …

      ok pantun balas ni cikgu ? Hihi 🙂

Leave a Reply to SisHaza Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *