TERKENANG DULU2: MUSIM ANGIN TIMUR DAN PADI RANGGI

By | February 4, 2013

Sebenarnya lama dah nak buat entri pasal ni, cuma asyik tertangguh je…

bakar jerami

Sudah lebih dari sebulan, Kota Gapura ni dilanda musim angin timur. Angin timur, maksudnya musim tiupan angin yang cukup kuat. Cukup kuat sehinggakan pada Subuh hari, bunyi kereta api bergerak di landasannya dapat didengari hingga ke rumah seolah-olah laluannya ada di laman sedang hakikatnya ia terletak berpuluh batu jauhnya.

Jika berjalan ketika musim angin timur, kena beringat-ingat.  Kain baju senang2 je terselak, jadi harus berhati-hati jika tak mahu malu sendiri 😀

Tiupan angin timur yang kuat menghasilkan bunyi mendayu seperti mana bunyi angin di tepi pantai yang dipagari pohon rhu. Jika didengari pada lewat malam, boleh menyebabkan bulu roma berdiri. Seram !

Musim angin timur juga biasanya disertai dengan cuaca panas. Sesekali berdebu juga. Waktu ini jugalah para petani mengambil kesempatan membakar jerami pada petang hari, lajak ke senja dan berterusan ke dinihari.

Zaman kecil saya dulu, musim angin timur biasanya berlaku pada setiap kali Disember, usai padi dituai. Namun sekarang, tak begitu lagi. Ia boleh berlaku bila2 saja. Mungkin kerana perubahan pola cuaca dunia. Agaknya lah…

Dahulu, sekitar 10 tahun usia saya, kanak-kanak lelaki menjadikan petak sawah yang baru dituai sebagai gelanggang bola sepak. Habis rebah tunggul padi dilanyak dek mereka. Masa tu mana ada mesin menuai padi. Kerja-kerja menuai semuanya dilakukan secara tradisional. Budak perempuan pula menjadikan petak sawah sebagai tapak berkelah.

Menjelang petang membawa ke senja, golongan lebih dewasa mengambil kesempatan bermain wau. Jangan kata wau bulan, wau burung dan segala jenis wau ada untuk diterbangkan. Apabila malam menjelang, wau tu tidak diturunkan. Ditambat sahaja di situ, mendendangkan bunyi berdengung yang kemudiannya menjadi halwa telinga yang dibawa ke saat beradu hingga ke Subuh esoknya. Terkadang berhari-hari lamanya wau tersebut dibiarkan di situ.

Memori paling indah musim angin timur ialah apabila emak sering membawa saya ke rumah jiran selepas Isyak untuk menumbuk padi ranggi. Padi ranggi adalah sejenis padi pulut dari jenis Padi Gantung Alu. Hu hu..padi apa tu ? Jangan ditanya sebab saya sendiri pun tak tahu. Sekadar kongsi cerita.

Padi ini dituai sebelum ia matang sepenuhnya. Kemudian ditumbuk di dalam lesung kayu menggunakan batang penumbuk yang dipanggil alu. Apabila terlerai kulitnya,kelihatanlah butir beras berwarna hijau yang disebut sebagai ranggi. Ranggi dimakan sebagai sarapan begitu sahaja tanpa perlu dimasak. Terkadang ada orang yang menggaulkannya dengan gula.

Sudah sangat sukar menemui ranggi pada zaman serba moden seperti sekarang. Yang ada hanyalah cornflakes dan segala cereal menjadi santapan pagi ala2 mat saleh..

Memori padi ranggi menjadi memori yang paling diingati hingga kini kerana saat menemani emak dan jiran emak menumbuknya, saya akan duduk di bangku kayu di halaman sambil menikmati tiupan angin timur yang cukup kuat dan menyejukkan. Lebih menimbulkan rasa syahdu apabila bulan penuh bersinar dan menyimbahkan cahayanya ke atas pohon kelapa menyebabkan pucuknya kelihatan berkilauan. Satu pemandangan yang cukup mengasyikkan dan sukar untuk diungkap bagaimana rasanya.

Sehingga ke saat entri ini ditulis, saya pasti meluangkan beberapa minit setiap malam berada di laman rumah sepanjang musim angin timur hanya semata-mata untuk merasa tiupan bayunya sambil merenung pohon kelapa yang berkilau pucuknya.Terasa seperti masih dapat menghidu harumnya bau ranggi yang baru ditumbuk. Ada seribu rasa rindu yang menggamit perasaan, berharap untuk mengulangi memori bersama emak. Sungguh masa berlalu begitu cepat…..

Saya mengulang cerita pada anak-anak bahawa pada waktu begini ,dahulunya saya akan mengikut nenek mereka menumbuk padi ranggi di bawah simbahan cahaya bulan sambil dibelai puput angin timur. Memori bersama emak yang cukup-cukup indah dan tak mungkin saya lupakan.

Kredit foto : antarafoto.com

Salam ukhwah buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. So, ada komen tak ? Jika ada, jangan segan2 untuk tinggalkan melalui ruangan komen di bawah. Kalian juga boleh gunakan borang ‘Hubungi’ untuk sebarang pertanyaan , cadangan mahupun pengiklanan ( bagi yang berminat kalau-kalau ada 😀 ). Jika sudi, follow saya sekali ye 😀 …. Terima kasih dan jemput datang lagi!

Facebook Twitter 

One thought on “TERKENANG DULU2: MUSIM ANGIN TIMUR DAN PADI RANGGI

  1. TehR

    memang sangat rindu dengan sawah rasanya
    cuma sekarang ni sawah tak lagi menjadi tempat bersantai di musim angin timur

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Follow Me