TERIMA KASIH CIKGU FATIMAH

5 hari lepas, satu majlis ringkas menandakan bermulanya gerak gempur Program Kecemerlangan UPSR diselit bersama dalam acara perhimpunan mingguan.

bunga unguSejambak bunga ungu diserahkan kepada kami cikgu2 mata pelajaran teras, simbolik bagi harapan semua pihak agar UPSR 2013 mampu memberikan lonjakan kepada prestasi dan nama baik sekolah. Alahai,gerun juga dibuatnya.

Melihat jambangan bunga ungu di atas meja, teringat pula kenangan persekolahan dulu.

Pagi yang cerah di darjah 2 Merah. Derap sepatu dari jauh sudah memberitahu, Cikgu Fatimah guru Bahasa Inggeris yang punya giliran. Guru putih melepak, berambut keriting dan suka memakai kasut sewarna bajunya yang aneka fesyen itu memang terkenal garangnya. Seluruh sekolah tahu itu.

Sejurus ucapan “ Good Morning “, nama saya dipanggil. Tak ingat bagaimana bentuk soalannya. Yang pasti perkataan ‘end, an, and..’ sudah cukup mengelirukan . Gagal memberi jawapan Tun pula ditanya. Disusuli Kinah dan 2 lagi rakan lain.

Berulang kali soalan serupa ditanya hanya mata terkebil-kebil yang menjawab.

Panggg ! 5 jejari runcing guru Bahasa Inggeris yang nama dan rupa anaknya mirip  ‘orang putih’ , hinggap di pipi kami berlima. Serentak itu juga,terasa air panas meleleh laju pada betis dan melimpah ke lantai bilik darjah.

Hari itu seluruh 2 Merah diselubungi bau hancing gara-gara 5 sekawan gagal membezakan ‘end, an & and ‘ ! 😀

Bahagian dalam pipi saya pecah. Dan kesan 5 jari melekat jelas pada pipi kiri. Kerana kulit saya agak cerah, kesan  itu lebih ketara dengan timbulnya urat-urat biru hasil ‘buah tangan’ Cikgu Fatimah. Ditanya oleh emak, saya katakan jatuh longkang di sekolah. Memberitahu hal sebenar bererti saya berpeluang besar untuk menambah ‘cop mohor’ pada pipi kanan pula.

Semenjak itu, kebencian terhadap cikgu Bahasa Inggeris itu mulai tumbuh. Namun bibitnya tidak lama. Melangkah ke alam menengah, saya mulai menerima dan faham mengapa beliau bertindak demikian. Hasil lempangan itu, saya beberapa kali menerima anugerah mata pelajaran Bahasa Inggeris terbaik keseluruhan tingkatan. Tak berniat membanggakan diri, sekadar menyatakan betapa besar pengaruh seorang guru dalam memberi didikan.

3 daripada kami akhirnya juga bergelar guru, manakala 2 lagi juga berkerjaya tak kurang hebat. Sewaktu membuat pilihan pengkhususan di maktab, saya berbelah bagi sama ada memilih  Pengajian Inggeris atau Pengajian Melayu. Kerana kekerapan  menyertai pelbagai program bahasa, waktu itu kecenderungan saya lebih kepada Bahasa Melayu,  lalu saya menolak Bahasa Inggeris.

Sesekali  terasa kesal juga. Kalau tidak, tentulah saya dipanggil teacher sekarang.  He he he….

Apapun, saya berterima kasih kepada Cikgu Fatimah. Kalau tak kerana lempangannya itu, saya mungkin meneruskan tradisi emak dan ayah, menjadi petani menanam padi untuk membekal beras kepada rakyat Malaysia.

4 thoughts on “TERIMA KASIH CIKGU FATIMAH”

  1. kenangan masa sekolah memang best
    walau pun kita pernah kena marah
    pernah dapat sakit
    tapi kita tak pernah berdendam
    malah kita bersyukur

    moga2 cikgu2 kita dahulu sentiasa gembira dan bahagia

  2. Sesekali bila ingat kenangan zaman sekolah memang macam2 peristiwa yang terjadi..
    Kira kuat jugak la cikgu Fatimah tu punya penangan penampar ye..sampai timbul urat2..

Leave a Reply to Sis Haza Cancel Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top