Umum

NOSTALGIA RAYA ZAMAN KANAK-KANAK

Kelibat sekumpulan kanak-kanak berbaju kurung dan baju Melayu berbasikal sepanjang jalan raya Kupang –  Baling yang kelihatan pada pagi raya pertama semasa kami sekeluarga dalam perjalanan balik ke Terengganu menggamit nostalgia raya zaman kanak-kanak saya dahulu.

Seronok melihat gelagat mereka berhenti berbasikal di tepi jalan. Mungkin berbincang sesama sendiri tentang destinasi raya seterusnya dalam misi mengumpul duit raya. Dalam pada itu ada juga yang menyeluk dompet kecil, mengira-ngira duit raya yang berjaya dikutip. Tika ini, ingatan melayang mengenangkan kembali nostalgia raya zaman kanak-kanak yang pastinya tak akan dapat diulangi lagi sama sekali.

Ziarah Raya

Dahulu, usai solat sunat Hari Raya saya tak pernah ketinggalan mengikut emak berziarah ke rumah jiran tetangga sebelah menyebelah rumah. Salah sebuah rumah jiran yang sentiasa ada dalam senarai wajib kunjung adalah rumah jiran belakang. Rumah jiran nan seorang ini terletak di belakang rumah emak, berselangkan sebatang anak sungai dan sebidang  sawah yang kini sudahpun  menjadi tapak rumah saya sendiri.

Memori beraya ke rumah jiran nan seorang ini kekal dalam ingatan saya dan sering menjadi bahan cerita kepada anak-anak setiap kali menjelangnya Aidil Fitri. Bukan kerana jiran ini tergolong dalam kalangan ‘somebody’ ,  kerana pangkat atau kedudukannya.

Mereka orang kampung biasa, tidak ada bezanya dengan keluarga kami atau penduduk kampung yang lain. Menariknya kerana setiap kali raya, emak pasti akan membawa saya mengharung anak sungai yang cetek sebagai jalan pintas ke rumah mereka sedangkan tidak jauh dari situ terdapat titi kayu yang agak lebar serta lebih selamat, lebih cepat dan lebih selesa untuk dilalui.

Saya sendiri hairan mengapa emak tidak menggunakan titi tersebut sebaliknya ‘memaksa’ saya untuk menanggalkan kasut bertumit tinggi ( kasut kanak-kanak ala-ala fesyen orang dewasa 🙂  ) dan menyebabkan saya terpaksa berhati-hati agar dress labuh ( yang kami panggil sebagai maxi ) corak bulu burung merak yang dibelikan ayah di Padang Besar agar tidak menyentuh permukaan air lalu basah.

Walaupun hairan dengan tindakan emak, namun saya tidak pernah membantah. Sebaliknya ia disusuli dengan perasaan amat girang. Mana tidaknya, semasa mengharung anak sungai yang airnya cetek lagi cukup jernih, saya dapat melihat anak-anak ikan bertempiaran mencari tempat bersembunyi sebaik kaki mencecah air. Sinaran mentari pagi raya menyuluh permukaan air sehingga memperlihatkan dengan jelas pasir halus serta batu-batu kecil yang berkilau akibat simbahan cahayanya itu.

 photo 5d4ac179-27a6-4aeb-be63-e427f8fe1762_zps675e3151.jpg
Semuanya tinggal kenangan … anak sungai bertukar menjadi longkang

Sayangnya, anak sungai yang hidup dalam sebahagian memori raya saya ini sudah bertukar rupa. Ditelan masa dan diulit arus perubahan, ia sudah tidak lebih daripada sebatang longkang yang menjadi tempat segelintir manusia tak bertanggungjawab melupuskan sampah-sarap kediaman mereka dengan cara paling mudah.

Kuih Raya

Sementara menunggu emak berbual-bual dan anak gadis tunggal jiran yang saya panggil sebagai CA menyajikan air dan kuih raya, saya lebih senang bertenggek di kaki tangga kayu sambil memakan sebiji dua buah jambu air yang pokoknya tumbuh betul-betul di kaki tangga.

Tidak lama kemudian, bahulu, ketupat daun palas, kuih goyang ( kuih bunga durian ) serta agar-agar kering pun diangkat keluar ke ruang tamu. Dalam banyak-banyak rumah yang dikunjungi, rumah jiran ini juga menghidangkan sejenis biskut berbentuk sampan dengan taburan kelapa parut kering yang diwarnakan hijau. Kala itu, saya memang menjadi begitu kagum dengan hidangan biskut yang tidak diketahui namanya  itu. Kekaguman serta ingatan yang kuat tentang biskut tersebut mungkin kerana tidak ada rumah lain pun yang menghidangkan biskut sedemikian rupa. Itu merupakan sebahagian daripada sebab mengapa saya cukup senang hati untuk mengikut emak berkunjung ke rumah jiran ini.

Duit Raya

20 sen adalah nilai duit raya yang paling popular ketika itu. Jika dapat lebih daripada itu, ia adalah bonus ! Dan tidak pernah ada sebarang keluhan atau rungutan jika menerima kurang daripada jumlah itu. Habis tak puas hati pun, semuanya terpendam di dalam hati sahaja 😀

Tidak seperti kanak-kanak zaman  sekarang yang rata-ratanya menerima paling koman RM 1.00 setiap seorang. Siap banding-membanding , merungut dan membebel sebelum sempat beredar daripada laman tuan rumah lagi jika menerima duit raya kurang daripada jumlah itu. Kedekut, taik idung masin .. hihihi  macam-macam bunyi rungutan lagi yang boleh didengar, keluar daripada mulut comel generasi iPad dan gajet pintar.

Jelajah Raya

Sepanjang ingatan , sama seperti kanak-kanak zaman sekarang saya juga melakukan jelajah raya bersama rakan-rakan sebaya yang lain. Bezanya kami tidak pernah melangkau sempadan kampung apatah lagi melepasi jalan raya sehingga melewati kampung-kampung yang lain. Mungkin kerana didikan atau amaran yang sudah diberikan awal-awal, maka tidak pernah ada keberanian untuk melangkah lebih jauh daripada itu.

Berbeza dengan senario kanak-kanak zaman sekarang yang jauh lebih berani serta lebih terbuka. Mereka melangkah lebih jauh, beraya ke serata ceruk kampung hatta ke destinasi yang tidak pernah mereka kunjungi sama sekali. Malah bukan sedikit yang keluar awal pagi, dan kelibatnya hanya kelihatan semula di rumah apabila azan Maghrib selesai berkumandang.

Tidak perlu dibandingkan antara zaman kita dahulu dengan zaman kanak-kanak sekarang kerana banyak perkara telah berubah. Cuma saya sering juga terfikir alangkah berani nya anak-anak zaman sekarang dan alangkah berani nya juga si ibu dan bapa membenarkan anak-anak bergerak sendirian dalam keadaan persekitaran sosial yang tidak begitu selamat serta banyak pula kes jenayah melibatkan kanak-kanak seperti penculikan, rogol, ragut, bunuh dan sebagainya yang menjadi bahan utama laporan muka depan akhbar-akhbar hari ini.

Sumber : Google Images

Apa ceritanya sekali pun, nostalgia raya zaman kanak-kanak adalah antara momen paling indah untuk dikenang. Benar, ia sudah lama berlalu. Puluhan tahun dahulu, kita menjadi kanak-kanak paling gembira beraya dengan cara dan kemampuan masing-masing. Bermain bunga api ( saya ingat lagi bunga api cap kepala kucing hitam , tapi tidak pernah mendatangkan kecederaan atau bahaya kepada sesiapa berbanding sekarang ), dibelikan sepasang baju raya, menjamah kuih-muih tradisional dan mengikut ibu beraya ke rumah saudara –mara menjadi saat  paling ditunggu-tunggu.

Hari ini, setelah dewasa kita bukan lagi diraikan sebaliknya lebih berperanan meraikan. Memenuhi keperluan raya bukan sekadar untuk anak-anak tetapi juga menunaikan kewajipan terhadap ibu dan bapa tercinta, menemani dan mengisi kesepian mereka sementara mereka masih ada.

Manfaatkanlah momen sebegini selagi berkesempatan..

Selamat Hari Raya.

SisHaza

Salam ukhwah buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. So, ada komen tak ? Jika ada, jangan segan2 untuk tinggalkan melalui ruangan komen di bawah. Kalian juga boleh gunakan borang 'Hubungi' untuk sebarang pertanyaan , cadangan mahupun pengiklanan ( bagi yang berminat kalau-kalau ada :-D ). Jika sudi, follow saya sekali ye :D .... Terima kasih dan jemput datang lagi!

31 thoughts on “NOSTALGIA RAYA ZAMAN KANAK-KANAK

  • Ziarah raya sudah semestinya wajib kalau tak, tak rayalah namanya. hehehe

    Reply
  • nostalgia saya yang paling best adalah duit raya..masa tu seringgit la paling femes..tapi 50sen pon ada juga yang beri..alhamdulillah sekarang masih merasa duit raya dari suami..

    Reply
  • Tidak dinafikan..raya zaman saya dulu pun, lagi seronok daripada raya zaman sekarang..huhu..yg penting, aktiviti ziarah menziarahi janganlah hilang ditelan zaman sebagaimana parit yang sudah berubah tu..hehe

    Reply
  • zaman kanak-kanak adalah zaman yg paling seronok untuk dikenang kan kak

    Reply
    • Ye Aju, kalau boleh jadi kanak2 semula kan best … 😀

      Reply
  • Sslam Aidilfitri, maaf, zahir dan batin. Zaman kanak-kanak memang waktu paling ceria jika berhari raya. Semua boleh dpt segala macam. Duit raya, kuih raya, ziarah raya dan sbgnya. Nostalgia yg tak mungkin dpt dilupakan.

    Reply
    • Betul tu, selagi kita hidup memang banyak detik yg akan menjadi kenangan untuk diingati

      Reply
  • zaman kanak2 kita dulu2 dah tak sama dengan zaman kanak2 sekarang
    tapi
    tanpa kanak2, raya tak jadi meriah
    nak juga mereka ada sama sebagai tukang riuh
    haha

    Reply
    • Betul tu cikgu, tak sesuai pula orang tua nak riuh-riuh ..lari main bunga api sana-sini heheh 😀

      Reply
    • Ya syaifuddin, biasanya kenangan dulu2 memang boleh menimbulkan seribu satu macam rasa ..

      Reply
  • Raya yang dahulu bukan raya yang sekarang. Selamat hari raya aidilfitri maaf Zahir dan batin

    Reply
  • dah boleh buat cerpen juga nostalgia ini..bagus bukan senang yang flash back..namun nostalgia bisa kita ingati sampai bila-bila.

    Reply
    • Entah macam mana ter syahdu pula masa menulis entri ni ..emmm,agak2 ada bakat tak untuk jadi novelis hihi 😀

      Reply
  • Salam Hormat.

    Memang teringat Zaman kanak-kanak saya time Aidilfitri.
    Maklum lah duduk di bandar. Bila balik kampung pelbagai benda baru dipelajari time Aidilfitri.

    Memang satu nostalgia yang unik 🙂

    Reply
  • salam lebaran..nostalgia..betapa indahnya sebuah kenangan raya dolu2 kan..

    Reply
    • Betul tu kak … tapi zaman kita dah berlalu. Hanya tengok ragam anak2 pula buat menghilangkan rindu pada kenangan lalu

      Reply
  • zaman saya pun susah betul nak dapat rm1.00 dari rumah2 org..
    tapi kalau dari mak saudara dah ayah saudara, mmg lumayan..

    Reply
    • Itulah, nasib baik ada mak sedara yang loaded sikit, kalau tak.. tak merasa laa jugak kan

      Reply
  • kenangan raya di zaman kanak2 menggamit kenangan.ingat dulu dapat duit raya 50 sen pun dah kira besar dah tu…:-)

    Reply
    • Sekarang, budak2 ni tak pandang pun 50 sen tu. Huhu betapa zaman berubah kan .. 🙂

      Reply
  • kita adalah dengan apa yang kita ada sekarang.syukur kalau tiada sedih sangat nak masa hari raya sungguh menusuk kalau ingat lebih jauh.

    selamat hari raya admin 😉

    Reply
  • saya pun rindu jugak kat zaman raya kecik-kecik dulu. dah tak sama banyak sangat dengan sekarang 🙁

    Reply
  • Pengalaman yang sangat berkesan dan takkan terlupakan.

    Reply

Leave a Reply to Kamil Salleh Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *