Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1437 Hijrah.

Kredit : Google Images

Salam lebaran buat semua. Moga Aidil Fitri kali ini masih meriah diraikan di samping mereka yang tersayang. Berikan masa dan hargai setiap detik bersama sementara masih ada ruang dan peluang. Andai kata kehilangan hanya terasa setelah mereka ‘jauh’ dari sisi, penyesalan sebesar gunung pun tetap tak akan ada gunanya lagi.

Amboihhh bukan main lagi hakak bermadah pujangga kan .. 🙂

Kemeriahan raya yang kian hilang. Sangat terasa pada sambutan raya tahun ini. Tak tahulah andai ini sekadar perasaan  atau sememangnya ia realiti. Mungkin juga ‘kesuraman’ ini mula terasa lantaran usia yang sudah jauh meningkat atau mungkin kerana diri yang tak berpijak pada perubahan masa dan masih dibayangi kenangan raya zaman kanak-kanak yang cukup mengujakan.

Seperkara yang ketara, rumah ini sunyi dari kunjungan kanak-kanak yang teruja mengutip duit raya. Lebih sunyi daripada tahun-tahun sebelumnya. Bukan rumah saya sahaja, malah kelibat kanak-kanak bertandang ke rumah jiran sekeliling juga kelihatan sangat berkurangan.

Adakah ini petanda hari raya semakin hilang serinya, hilang ditelan masa dan luntur semangat perayaannya akibat perkembangan teknologi telekomunikasi yang menyebabkan trend berziarah itu dengan mudah-mudah saja diambil alih oleh kunjungan secara maya melalui aplikasi whatsapp, wechat dan sebagainya ?

Tidak,tidak,tidak ! Bukan saya menafikan kebaikan aplikasi –aplikasi berkenaan. Juga bukan saya bersikap anti sosial. Malah sebaliknya dengan teknologi pintar inilah yang banyak membantu saya untuk terus berkarya melalui penulisan blog .Cumanya kerap pula minda ini berfikir sendiri , adakah keghairahan melayari ruang sembang alam maya dan keseronokan bermain dengan gajet pintar menjadi penyebab mengapa generasi hari ini hilang minat dan hilang keghairahan untuk bertemu dan bertegur sapa secara nyata.

Atau mungkinkah juga kerana faktor sosio ekonomi menjadi sebahagian lagi daripada punca mengapa lebih ramai yang memilih untuk ‘berdiam diri’ sahaja di rumah , melayan rancangan televisyen yang diulang berpuluh kali saban raya berbanding bertandang ke rumah jiran tetangga dan sanak saudara yang pastinya sedikit sebanyak menuntut kos perjalanan dan perbelanjaan lain.

Ribuan persoalan bermain dalam minda, ke mana hilangnya seri hari raya. Bagaimana keadaannya pada tahun-tahun mendatang?

Kemeriahan  raya yang kian hilang. Betapa sedihnya terasa !