Salam Ramadhan Al-Mubarak

Alhamdulillah, hari ini sudah pun masuk hari ke-7 kita menunaikan ibadah puasa. Syukur kerana masih dipinjamkan waktu untuk merasa nikmat berpuasa bersama keluarga tersayang tidak seperti mereka yang telah terlebih dahulu kembali kepada Nya. Moga puasa dan ibadah yang kita lakukan diterima dan mendapat ganjaran besar daripada Allah SWT.

Hari terakhir cuti persekolahan penggal pertama . Bermakna, hari ini masih ada kesempatan untuk menyediakan sendiri sepenuhnya hidangan berbuka puasa untuk keluarga. Bukanlah bermaksud hari-hari persekolahan tak boleh pula nak memasak. Maksud saya, dengan masa yang terbatas, mungkin hanya sejenis hidangan saja yang sempat disiapkan. Bukan kata sejenis hidangan tu tak mencukupi. Cukup memang cukup namun untuk memenuhi kehendak ahli keluarga dengan selera yang berbeza, agak sukar. Susah kan jadi mak ni hihi 😀

Ok, menu apa agaknya hari ini ? Ikan patin masak tempoyak, masak lemak cili api jantung pisang atau paru goreng berlada ?

Sebut pasal paru goreng berlada ni, tentu ramai juga yang suka dengan menu ni. Tapi tak ramai yang tahu cara untuk mendapatkan paru yang rangup dan berjaya memasak paru ni tanpa ada bau ‘lembu’ .

Baiklah, apa kata saya kongsikan untuk anda di sini tips mudah sebelum memasak paru lembu agar bau ‘lembu’ tu dapat dikurangkan dan tekstur paru tu tak liat, malah lebih rangup dan sedap dimakan.

Tips mudah sebelum memasak paru lembu ini senang sahaja,namun bukan satu perkara yang mustahil andai ada yang masih belum tahu. Saya katakan begitu sebab beberapa bulan lepas, pengusaha kantin tempat saya bekerja ni ada menghidangkan paru goreng berlada untuk menu hari tersebut. Saya yang memang gemarkan paru goreng berlada ni, memang excited nak mencedoknya ke dalam pinggan nasi. Tapi selera terus mati apabila melihatkan rupa paru goreng berlada tu. Nak digambarkan kat sini pun tak reti, tapi dengan bau dan saiz kepingan paru yang sebesar tapak tangan tu, terus hilang selera nak makan nasi hari tu .. Ohhh 😐

Ok, jom sama-sama kita tengok tips mudah sebelum memasak paru lembu ni.

Tips Mudah Sebelum Memasak Paru Lembu

Firstly, bersihkan semua bahagian paru tu termasuk pada lubang atau rongga uratnya tu daripada kesan-kesan darah dan sebagainya.

Potong paru kepada beberapa bahagian atau ketulan yang lebih kecil agar lebih mudah untuk direbus. Untuk step ni, pastikan pisau yang anda gunakan lebih tajam sebab nak memotong paru yang ringan seperti getah ni agak susah juga.

Selepas itu, cuci dengan air perahan limau nipis. Tujuannya untuk menghilangkan hanyir pada paru tersebut. Jika tiada air perahan limau nipis, anda boleh gantikannya dengan air asam jawa , air cucian baju beras, atau air bancuhan tepung gandum. Rendamkan seketika sebelum dicuci bersih.

Rebus paru dengan 2 keping asam gelugur, sesudu garam dan sesudu kecil serbuk kunyit. Rebus sehingga benar-benar masak. Kadang saya curahkan air rebusan dan ganti sekali lagi dengan air yang baru untuk rebusan semula dengan tujuan menghilangkan bau ‘lembu’. Tuan putera dua beradik kat rumah ni memang cerewet bab paru goreng berlada ni

Setelah masak sepenuhnya, tos paru dan sejukkan. Apabila dah sejuk, bolehlah dipotong kepada kepingan kecil.
Goreng kepingan paru sehingga garing seperti mana anda menggoreng ikan dan ketepikan.

Tumis berasingan bahan ramuan paru goreng berlada sehingga hampir kering. Sejukkan dan apabila dah sejuk barulah masukkan kepingan paru yang digoreng rangup tadi ke dalam tumisan cili itu tadi.

Kredit Image : resepisheilarusly.com

Siap sudah resepi atau hidangan paru goreng berlada yang anda gemari.Kelihatannya seperti susah dan makan masa saja jika nak masak paru goreng berlada ni, apatah lagi bagi yang belum pernah mencuba memasaknya. Namun andai sudah mencuba, prosesnya sebenarnya mudah sahaja.

Demikian tadi, tips mudah sebelum memasak paru lembu goreng berlada. Moga ia bermanfaat untuk anda.
Nak resepi lengkap paru goreng berlada ? Baca di sini atau boleh juga dapatkan di sini .