Nasi goreng, dalam apa juga sebutan mengikut bangsa, semua orang tahu mengenainya. Ramai yang sukakannya dan boleh dikatakan ia menu popular dalam kalangan rakyat Malaysia .

Zaman sekarang, nasi goreng boleh didapati di mana-mana saja. Tak kira siang atau pun malam. Di warung-warung kopi, gerai tepi jalan, restoran -restoran besar mahupun hotel 5 bintang. Hadir dengan pelbagai nama dan variasi rasa seperti nasi goreng cina, nasi goreng pattaya, nasi goreng kampung, nasi goreng kereta api, nasi goreng USA dan puluhan jenis nasi goreng lagi, ia adalah menu berasaskan karbohidrat yang cukup mengenyangkan. Menu yang menyihatkan jika disertai dengan sayuran secukupnya , namun tetap perlu dikawal pengambilannya kerana karbohidrat tetap karbohidrat. Perlu untuk tenaga tetapi jika berlebihan menyumbang pula kepada kegemukan.

Pada waktu-waktu sibuk, biasanya saya pilih nasi goreng sebagai hidangan untuk keluarga. Tak menentu waktunya, pagi atau pun malam. Tapi belum pernah lagi dijadikan hidangan tengah hari.  Hehe, rasanya ‘ tak jalanlah ‘ untuk dijadikan bahan alas perut pada waktu -waktu begitu.

Nasi Goreng Satu Ketika Dahulu

Kalau dikenangkan, orang tua-tua zaman dahulu  hanya makan nasi goreng pada waktu pagi sebagai sarapan. Mungkin tidak untuk makan malam.  Itu pun  jika ada lebihan nasi malam sebelumnya.  Agar tidak membazir, kerana pada waktu itu ada beras untuk ditanak sudah merupakan satu rahmat Tuhan yang cukup besar.Ramuannya pula sekadar bawang yang ditumbuk, garam dan mungkin isi ikan  goreng yang tidak habis dimakan. Berbeza dengan menu nasi goreng zaman sekarang yang cukup ‘mewah’ dengan mix vege, sosej, nugget dan aneka makanan2 moden yang tak mampu nak disebutkan di sini. Banyak sangat !

Terkenang zaman kanak-kanak saya dahulu, nasi goreng air tangan emak hanya nasi yang digoreng bersama-sama garam dan tumisan bawang sahaja. Lebih mewah sedikit jika ditambah ikan bilis dan kicap. Selainnya tidak ada. Kerana pada ketika itu, kesusahan kami sama seperti orang kampung biasa yang lain. Namun, nasi goreng emaklah nasi goreng paling sedap di dunia ! Hehe ….  memang mana-mana anak pun akan mengatakan perkara serupa, betul tak ?!

Tapi jangan disangka orang tua-tua zaman dahulu tidak kreatif dalam memberikan kepelbagaian bagi sesuatu resepi. Mereka juga bijak memanfaatkan bahan yang ada di dapur. Pernah makan nasi goreng yang digoreng bersama hirisan isi kelapa ? Saya percaya, mungkin ada yang ketawa membacanya ( datang dari hulu manalah agaknya …. 😀 ) tapi hakikatnya inilah antara menu yang pernah disuap ke mulut saya. Demi kasih sayang seorang ibu dan kelangsungan sebuah kehidupan !

Waktu berputar, sampai kini nasi goreng bersama isi kelapa tidak pernah lagi saya lihat.

 photo 3aa956ac-1991-43fd-8500-1114b75ccb0c_zps7ba18f4c.jpg

Nasi Goreng Kegemaran Anak-anak

Nasi goreng yang menjadi kesukaan anak-anak , ringkas sahaja. Cuma perlukan isi ikan goreng, sesudu sos tiram, 2 sudu sos lada hitam, bawang merah dan putih yang ditumbuk, daun sup, daun bawang  dan 2 biji telur. Cara menggorengnya semua orang sudah tahu. Cukup ringkas tapi murah dan mengenyangkan.

Anda suka nasi goreng ?

7 Comments

  1. anak-anak saya pun suka nasi goreng simple mcm ni kak, mudah dan mengenyangkan hmmm

    1. Author

      Ye Aju, jauh lebih baik daripada berikan mereka makanan segera kan .. 🙂

  2. senang nak masak nasi goreng sekarang ni
    segala perencah dah ada
    dulu2 kami tumbuk bawang lada sendiri nak masak nasi goreng

    1. Author

      Ye Cikgu, sebut jer nak perasa apa, nasi goreng kampung, nasi goreng udang, ….seeeeemuaa ada hihi

  3. Saya sangat suka nasi goreng. Nasi goreng kampung, nasi goreng tomyam, nasi goreng ayam, nasi goreng cili padi, fuhh…. Letak telur cair sekali 😀

    Salam perkenalan,
    Nabihah

    1. Author

      Salam perkenalan Nabihah. Akak pun sama, suka nasi goreng..

  4. Mudah hendak disediakan dan sedap dimakan bersama keluarga. Tidaklah bazir nasi. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *