Ajar Anak Cepat Membaca Di Rumah

By | April 28, 2017

Dengan Bismillah ,

Ajar anak cepat membaca di rumah , seboleh-bolehnya sebelum mereka melangkah masuk ke Tahun 1.

Terlintas untuk berkongsi tentang masalah anak belum pandai  membaca ini kerana kegusaran saya melihat anak didik di Tahun 5 yang ada antaranya masih merangkak-rangkak membaca, padahal sudah 5 tahun memasuki alam persekolahan. Alahai ..

Penting untuk anak anda menguasai kemahiran asas membaca seperti mengenal huruf, membunyikan suku kata, membaca perkataan dan pada peringkat yang lebih tinggi melafazkan ayat yang dibaca dengan betul  serta memahami maksud tersurat dan tersirat dalam bahan bacaan agar mereka dapat bersaing seiring dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Ini kerana , perincian sukatan pelajaran Tahun 1 yang digubal dan diguna pakai di seluruh sekolah rendah di negara kita sekarang , menjangkakan murid yang memasuki Tahun 1 sudah pun  mengenal huruf dan suku kata terbuka atau tertutup, serta mampu membaca ayat mudah dengan betul.

Penting untuk memastikan anak anda sudah kenal huruf dan boleh membaca sebaik memasuki tahun pertama persekolahan kerana jika mereka masih gagal mengenal huruf apalagi membatangkan suku kata yang membentuk perkataan, akan menyebabkan mereka lambat mengikuti setiap aspek pembelajaran di dalam kelas dan pastinya ketinggalan di belakang rakan mereka yang lain.

Apabila ini berlaku, proses pembelajaran mereka akan menjadi lebih lambat dan pasti saja menyebabkan anak-anak ini tidak dapat menguasai kemahiran sepatutnya dalam jangka masa yang ditetapkan.

Lambat Membaca : Apa Kesannya ?

Apabila seseorang kanak-kanak lambat mengenal huruf dan tidak boleh membaca, pasti ada kesannya terhadap diri mereka sendiri.

  • Kesan psikologi dan rasa rendah diri kerana menjadi bahan ejekan berkemungkinan wujud walaupun kadang kala ia tidak ditunjukkan secara jelas.
  • Hilang momentum atau dorongan untuk belajar disebabkan tiada keupayaan membaca pantas dan tiada keupayaan memahami maklumat seperti rakan yang lain
  • Gagal menjawab kertas peperiksaan sebaiknya disebabkan kegagalan membaca dan ketidakupayaan mentafsir maklumat dengan tepat.
  • Ketinggalan fasa pembelajaran normal kerana terpaksa terlebih dahulu menduduki kelas pemulihan sebelum mereka benar-benar menguasai kemahiran membaca.

Buta Huruf Pada Abad Ke-21

Dengan perkembangan dalam bidang pendidikan, buta huruf pada abad ke-21 masih lagi berlaku atas sebab keciciran kerana faktor ekonomi keluarga dan kurangnya kesedaran ibu bapa. Bagaimana agaknya nasib jika anak-anak kita buta huruf pada abad ke-21 ??

Abad 21 adalah abad di mana era digital menguasai setiap aspek kehidupan . Pembayaran bil online, pembelian barang dan perkhidmatan secara online,permohonan kerja atas talian, permohonan pendidikan melalui borang online, pendaftaran memasuki Tahun 1 secara online … dan seribu satu macam ragam kehidupan yang menuntut pengetahuan dan kemahiran maklumat di hujung jari. Sekadar menyebut satu contoh.

Tidakkah semua ini menuntut keupayaan individu untuk membaca demi meneruskan kelangsungan hidup generasi seterusnya ?

Peranan Ibu Bapa Menangani Anak Lambat Membaca

Walaupun di sekolah sekarang ini sudah diperkenalkan Program Pemulihan dan LINUS, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab memantau perkembangan akademik anak-anak  100 % kepada para guru.

Peranan ibu bapa masih sangat diperlukan kerana anak-anak adalah tanggungjawab utama ibu bapa. Lagi pun, masa yang dihabiskan di rumah adalah lebih panjang berbanding masa mereka di sekolah.

Jika disarankan oleh guru untuk membawa anak untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor bagi mengenal pasti adakah mereka menghadapi masalah kognitif atau tergolong sebagai penghidap disleksia, ibu bapa sepatutnya menerima saranan itu tanpa prejudis .

Saranan guru itu bukan bermaksud mengatakan bahawa anak-anak ini mengalami kecacatan mental atau sebagainya tapi ia bagi membolehkan diagnosis dilakukan untuk mengenal pasti masalah sebenar serta cara menangani yang lebih berkesan.

Ajar Anak Cepat Membaca Seawal Usia

Ajar Anak Cepat Membaca Di Rumah

Apa sahaja teknik konvensional atau moden adalah merupakan teknik yang bagus jika dijalankan dengan kaedah yang betul. Beli buku Cepat Membaca, ajar menggunakan kaedah Fonetik atau apa saja yang mampu dilakukan, sebagai satu tanda kita adalah ibu bapa yang prihatin dengan keperluan anak-anak. Apapun kaedahnya, ajar anak cepat membaca di rumah .Lakukan secara berhemah dan tidak menekan.Beri mereka sedikit masa.  In Sha Allah, komitmen dan kasih sayang ibu bapa akan mempercepatkan ‘kesembuhan penyakit’ mereka.

<<< Pakej Bacalah Anakku >>>

<<< Ajar Anak Kecil Membaca Awal >>>

 

Salam ukhwah buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. So, ada komen tak ? Jika ada, jangan segan2 untuk tinggalkan melalui ruangan komen di bawah. Kalian juga boleh gunakan borang ‘Hubungi’ untuk sebarang pertanyaan , cadangan mahupun pengiklanan ( bagi yang berminat kalau-kalau ada 😀 ). Jika sudi, follow saya sekali ye 😀 …. Terima kasih dan jemput datang lagi!

Facebook Twitter 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Follow Me