RENCAH HIDUP SEORANG GURU

By | May 13, 2014

Salam Selasa,

Selamat Hari Wesak kepada warga Malaysia yang terlibat meraikannya … Kami warga pendidik di sini bercuti, kalian bagaimana ?

Kalau rakan sealiran ada menulis tentang Program Sekolah Penyayang, maka saya pun tak mahu lepas peluang untuk bercerita sedikit tentang rencah hidup seorang guru.

Rencah hidup seorang guru ?! Klisye bunyinya …. klisye atau tidak bergantung kepada cara anda mentafsir bidang tugas guru itu sendiri. Kerana saya sendiri seorang guru, saya tetap akan mempertahankannya sampai bila-bila !

Mungkin masih ramai yang tidak tahu ( atau mungkin juga sengaja buat-buat tidak tahu ), bahawa selain daripada melaksanakan agenda utama negara iaitu mendidik generasi celik huruf , bidang pendidikan hari ini juga diserap masuk dengan pelbagai bidang lain yang difikirkan sesuai serta menepati keperluan semasa negara.

 photo 1a858014-2a60-499a-8b57-087ff8ad6c3a_zps717bb90c.jpg

Rutin wajib sampai pencen … huhu

Selain tugas hakiki mengajar tulis, baca dan kira  kami juga perlu mendidik murid tentang aspek PKJR ( pendidikan keselamatan jalan raya ). Mungkin agaknya kerana Malaysia tersenarai antara beberapa buah negara Asia tenggara yang tinggi kadar kematian akibat kemalangan jalan raya, maka cara melintas, mengenal papan tanda jalan raya, serta bagaimana caranya memahami dan mematuhi lampu isyarat perlu diajar dari bangku sekolah lagi . Juga adanya program  PPDA ( Pendidikan Pencegahan Anti Dadah ), mungkin dek ramainya anak bangsa kita terutama orang kita sendiri yang ‘layu’ kerana najis tersebut. Itu belum lagi tentang cerita pendidikan pencegahan  aedes dan demam denggi, pendidikan alam sekitar dan sebagainya… sekadar menyebut beberapa contoh.

Jadi, rencah hidup dan tugas sebagai guru pada zaman sekarang bukan lagi hanya mengajar murid tulis baca. Bukan sekadar berdiri di pintu masuk menyambut kedatangan murid dan penjaga, tapi pada masa-masanya menjadi pegawai kesihatan, memeriksa pasu-pasu bunga, longkang, kolam Sains dan sebagainya kalau-kalau ada jentik-jentik yang menghuni. Tidak terkecuali juga tugas-tugas meneliti tahap kebersihan tandas , adakah lantainya licin atau berlumut, sumbingkah mangkuknya, bersihkah sinki serta cerminnya. Pendek kata setiap inci tandas sekolah baik milik guru atau tandas murid,semuanya perlu diperhati sebelum borang senarai semaknya ditanda dan fail tandas dilengkapkan untuk diselia. Tugas siapa lagi semua ini  jika bukan tugas seorang guru sama ada rela atau terpaksa 🙂

Mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian  Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas  Sekolah dalam usaha mengamalkan budaya tandas sekolah bersih terutama kepada  golongan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal  digerakkan melalui penyebaran poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas  bersih termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah di semua sekolah  bermula bulan ini.

*** Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130107/pe_02/Tandas-sekolah-diberi-penarafan#ixzz31ZW0GRaG ©  Utusan Melayu (M) Bhd.

Senarai tugas guru seperti yang disebutkan di atas, hanyalah sekadar beberapa contoh kecil rencah hidup seorang guru. Belum lagi menyentuh tentang LINUS, PBS, PROTIM, Frog VLE dan lain-lain lagi yang kebanyakannya menuntut banyak masa dan kesabaran seorang yang bergelar guru. Bukan sekadar mengejar masa untuk menyiapkannya, malah perlu memastikan fail-fail, rekod dan pelaporannya sentiasa dikemaskini untuk pemantauan. Jadi jika kalian melihat bahawa tugas guru itu mudah, pergi jam 7 serta pulang jam 1.30, maka percayalah sepenuh hati kalian bahawa apa yang hangat dipertikaikan  itu hanya waktu rasmi yang tertera cantik di atas kertas. Hakikat sebenarnya jauh tersasar daripada apa yang kalian fikir dan perhatikan.

Persepsi Masyarakat Terhadap Guru

Berbeza dengan golongan guru terdahulu, guru zaman sekarang kurang dihormati. Bukan sahaja kurang dihormati, malah sewenang-wenangnya dipersalahkan apabila seseorang murid gagal memperoleh keputusan cemerlang. Guru ditempelak dan dihamun sesuka hati. Namun jika murid itu berjaya, jarang ada pujian untuk guru yang telah bertungkus-lumus mencemerlangkannya.

Saya bukan berat sebelah. Juga bukan menilai semuanya begitu.  Masih ada segelintir ibu bapa yang tahu mengenang budi, berterima kasih atas khidmat yang diberi serta tahu senyum serta bertanya khabar apabila bertemu di mana-mana. Namun, golongan ibu bapa seperti ini kecil bilangannya, boleh dibilang sebelah jari sahaja ( dalam konteks sekolah saya ).

Sekitar jam 7.15 pagi saya biasanya tiba di sekolah. Jika trafik sesak atau hujan lebat, mungkin 5,6 minit lambat daripada selalunya. Sewaktu menuju ke tangga pejabat, saya sering berselisih dengan ibu bapa penyayang yang menghantar anak sehingga ke pintu kelas. Bukan sekali dua, bukan juga 5,6 kali bertembung dengan mereka. Saya pandang mereka, jika tidak menganggukkan kepala, senyuman jadi gantinya sebagai tanda hormat dan persaudaraan. Tapi malang sekali senyuman langsung tidak berbalas, malah tingkah mereka juga bagaikan berselisih dengan angin. Tiada respon ! Salam juga pernah saya lontarkan buat si ibu bertudung cantik, tapi salam itu juga tidak berjawab. Bukan saya seorang pernah berhadapan situasi begitu, malah rakan-rakan lain juga menghadapinya. Nah ! Kalau begitu cara ibu atau bapanya bertingkah kurang adab ,bagaimana pula mahu diajar si anak agar beradab ?

Itu belum lagi cerita bagaimana seorang rakan ditempelak oleh seorang bapa kerana mahu memaklumkan bahawa anaknya demam di sekolah serta seorang ibu berjawatan besar yang memarahi guru apabila melihat anaknya bertugas menyapu bilik darjah mengikut jadual tugasan harian kelas. Tuduh si ibu, guru kelas itu mendera anaknya. Munasabah kah tuduhan itu sedangkan ada beberapa orang lagi rakannya turut sama tersenarai dalam jadual hari tersebut untuk tugasan menyapu sampah ?

Bagaimana mahu dididik anak-anak ini tentang betapa pentingnya kebersihan dalam kehidupan seorang Muslim, jika begitulah tuduhan dan prasangkanya ?

Saya sedar, tulisan ini tentu sekali jadi amat tidak menyenangkan jika kalian membaca dan menerimanya dengan persepsi yang negatif. Saya cuma mahu memperbetulkan persepsi sesetengah golongan yang melihat guru sebagai insan kurang kesedaran dan tidak bertanggungjawab. Kami bukannya golongan sebegitu .

Sememangnya tidak dinafikan, ada guru yang ‘jahat’. Wujudnya mereka ini juga kerana pelbagai sebab, termasuk memohon menjadi guru kerana tiada pekerjaan lain dan kerana ‘kabel’ nya besar sedangkan kelayakan yang dimiliki langsung  tidak menepati syarat-syarat latihan perguruan.  Kerana mereka yang seorang dua inilah, ‘kejahatan’ itu terpalit kepada orang lain.

Sambutan Hari Guru 2014

2 hari lagi sambutan Hari Guru bakal menjelang, namun sambutan di peringkat sekolah belum lagi ditetapkan bagaimana. Mungkin ada sedikit ucapan dan jamuan bersama murid. Selebihnya, meneruskan tugas yang tak pernah habis-habis 😀

Buat bekas guru yang telah banyak berjasa mendidik dan mengajar saya, saya ucapkan Selamat Hari Guru buat mereka semua. Terima kasih atas jasa dan pengorbanan kalian.  Juga doa  buat bekas guru yang telah kembali ke rahmatullah seperti  Cikgu Amrah, guru Bahasa Inggeris saya semasa darjah 1 yang pernah melukis ‘hen’ sebesar dan seluas  permukaan papan hitam ! Lukisan yang masih dapat saya bayangkan sehingga kini ..

Al-Fatihah…

Selamat Hari Guru

 

 

 

Salam ukhwah buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. So, ada komen tak ? Jika ada, jangan segan2 untuk tinggalkan melalui ruangan komen di bawah. Kalian juga boleh gunakan borang ‘Hubungi’ untuk sebarang pertanyaan , cadangan mahupun pengiklanan ( bagi yang berminat kalau-kalau ada 😀 ). Jika sudi, follow saya sekali ye 😀 …. Terima kasih dan jemput datang lagi!

Facebook Twitter 

10 thoughts on “RENCAH HIDUP SEORANG GURU

  1. amirulfaiz

    Cemburu dengan mereka yang bergelar cikgu / guru, kerana gelaran yang mulia itu melekat pada nama mereka, hingga keluar dari kawasan sekolah. Terima kasih cikgu. 🙂

    Reply
    1. SisHaza Post author

      Daripada pengalaman, memang begitu …malah orang dapat teka itu memang cikgu walau kali pertama jumpa. Saya pun tak tahu ada apa tanda boleh dicamkan begitu. Masih belajar untuk jadi guru yang baik 🙂

      Reply
  2. ajumohit

    saya amat faham kak sebab jiran sebelah ni suami isteri cikgu, semoga kita semua memainkan peranan yg penting dalam memastikan anak2 berjaya

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Follow Me