Pakatan Rakyat kuasai dua bukit

April 9th, 2009

Pengundi telah menunjukan sokongan penuh terhadap bekas Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang menjadi calon bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Menerima peningkatan majoriti berbanding pilihanraya Mac tahun lepas, Nizar menerima undi sebanyak 21,860 undi apabila menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi manakala calon Bebas, Kamarul Ramizu mendapat 62 undi serta hilang wang deposit.

Dalam pilihanraya ke 12, tahun lalu calon Pas Roslan Shaharum hanya menerima majoriti sebanyak 1566 undi dan pada pilihanraya kecil ini, Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang mendapat majoriti sebanyak 2789 undi.

Di Bukit Selambau pula, kerusi Dewan Undangan Negeri ini KeADILan meraih kemenangan apabila calon parti ini, S Manikumar menewaskan 14 calon yang bertanding di kerusi ini.

S Manikumar menang dengan majoriti 2,403 undi dengan meraih 12,632 undi. Manakala calon BN Datuk S Ganesan memperolehi 10,229 undi.

Kesemua 13 calon bebas yang bertanding hilang wang pertaruhan.

Barisan Nasional pula mengekalkan kerusi Dun Batang Ai apabila calonnya, Malcolm Mussen Lamoh memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti 1,854 undi.

Bekas jurutera Jabatan Pertanian Sarawak ini, memperoleh 3,907 undi untuk menewaskan bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal yang mewakili KeADILan, Jawah Gerang, yang meraih 2,053 undi dalam pertandingan satu lawan satu.

Posted in Uncategorized | Comments (0)

Apa sudah jadi pada SPRM?

April 9th, 2009

Di penghujung riwayat Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri kelima, reformasi yang dijanjikannya sejak berkempen pada pilihanraya 2004 cuba dilaksanakan dengan begitu tergesa-gesa.

Antaranya, reformasi terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar penguatkuasaan antirasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Maka timbul idea untuk melaksanakan sebuah suruhanjaya bebas dan diletakkan bawah kuasa Parlimen.

BPR dikecam kerana dilihat hanya menangkap “ikan-ikan bilis” atau kes-kes kecil yang melibatkan kakitangan rendah. Contohnya, kes-kes polis yang diseret ke mahkamah kerana meminta suapan RM200. Sementara banyak laporan rasuah yang dibuat melibatkan pemimpin kanan kerajaan yang berpangkat menteri dan melibatkan jutaan ringgit tidak pula diambil sebarang tindakan.

Pada ketika itu, ramai yang berpendapat BPR tidak dapat menjalankan tugas dengan bebas dan berkesan kerana badan tersebut terletak bawah Jabatan Perdana Menteri.

Atas dasar sebuah badan antirasuah perlu bebas daripada cengkaman pemerintah untuk memastikan keberkesanannya, maka tertubuhlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hujung tahun lepas.

Pembentangan rang undang-undang suruhanjaya tersebut disokong oleh majoriti ahli parlimen BN dan Pakatan Rakyat dengan harapan rasuah dapat dibanteras dengan lebih agresif.

Pada hari pertama BPR menjelma sebagai SPRM yakni pada 2 Januari lalu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR Badrul Hisham Shaharin menyerahkan dokumen setebal 60 mukasurat yang mengandungi pelbagai laporan rasuah lama dan baru sempena dengan permulaan siasatan baru SPRM.

Menurutnya, yang mesra dpanggil Chegubard, dokumen berkenaan diserahkan bagi menguji peranan SPRM yang baru ditubuhkan.

“(Dokumen) ini adalah laporan pertama kepada SPRM. Sekiranya SPRM gagal bertindak terhadapnya (dokumen itu), maka rakyat akan terus kecewa kerana wang yang dibayar melalui cukai terbazir untuk memenuhi retorik politik perang rasuah yang hanya menangkap ikan bilis atau pendakwaan berdasarkan politik,” katanya di luar ibu pejabat SPRM.

Dalam dokumen berkenaan, antaranya, termuat laporan rasuah bekas ketua menteri Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz yang pernah disediakan oleh peguam negara kira-kira 10 tahun dulu.

Selain dua kes berprofil tinggi ini, dokumen berkenaan turut mengandungi laporan dakwaan korupsi mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, ahli keluarga serta kroninya dalam Perwaja dan isu-isu pelantikan hakim dalam skandal video membabitkan peguam VK Lingam.

Skandal korupsi Abdullah, keluarga dan kroninya dalam beberapa organisasi di dalam dan luar negara turut disertakan dalam laporan Chegubard.

Laporan tentang Najib Razak serta kroninya yang terlibat dalam isu pembelian kapal selam serta pembunuhan warga Mongolia turut diserahkan.

Begitu banyak sekali laporan rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan termasuklah perdana menteri dan timbalannya dihantar pada hari pertama SPRM beroperasi.

Selepas 20 hari pemimpin PKR itu menyerahkan laporan rasuah pemimpin tertinggi negara, Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak) yang kini dipimpin oleh Mohd Nazree Yunus membuat aduan kepada SPRM mendakwa menteri besar Selangor menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu bagi bahagian Bandar Tun Razak pada 21 Januari.

Selain mengepalai negeri itu, Abdul Khalid Ibrahim juga merupakan ahli parlimen kawasan tersebut, yang terletak di Wilayah Persekutuan.

Gerak mendakwa menteri besar membeli lembu-lembu korban itu pada harga RM110,400 sempena sambutan Aidil Adha tahun lalu bagi diagihkan di bahagian parlimennya sendiri. Bayaran bagi pembelian lembu berkenaan dilunaskan oleh Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Lima hari selepas itu, Gerak sekali lagi membuat laporan kepada SPRM, mendakwa Abdul Khalid menyalahguna wang kerajaan negeri sebanyak RM7,779 untuk kegunaan peribadi.

Nazree mengadu kepada SPRM, mendakwa pemimpin PKR itu menyalahguna wang tersebut untuk menyelenggara kereta Lexus milik peribadinya.

Dalam laporan yang diserahkan kira-kira jam 4.45 petang itu, Gerak mendakwa mempunyai bukti bahawa wang kerajaan negeri digunakan untuk membiayai kos penyelenggaraan kereta peribadi menteri besar itu secara berkala.

Menteri besar Selangor menafikan kedua-dua dakwaan berkenaan. Menurutnya, lembu-lembu itu didermakan oleh anak syarikat kerajaan negeri sebagai satu tanggungjawab sosial syarikat tersebut. Manakala Lexus milik peribadinya itu telah diisytiharkan sebagai kenderaan rasmi menteri besar.

Tidak berapa lama selepas aduan Gerak itu, pada 20 Febuari lepas, SPRM membuat kenyataan bahawa ia mempunyai bukti-bukti yang mencukupi untuk mendakwa Abdul Khalid atas tuduhan rasuah.

Pengumuman tersebut dibuat sendiri oleh ketua pesuruhjayanya Ahmad Said Hamdan.

Pengumuman itu menimbulkan kemarahan banyak pihak. Menurut peguam menteri besar Selangor, Sankara Nair, menjadi amalan suruhanjaya tersebut selama ini untuk tidak mendedahkan pada umum hasil siasatan yang dijalankannya.

Sehubungan itu, Sankaran bertanya mengapa Ahmad Said tidak membuat perkara yang sama apabila siasatan terhadap Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Peguam Negara, Abdul Gani Patail selesai?

Tindakan SPRM itu, kata Sankara lagi, harus dipandang berat kerana anak guamnya - seorang ahli politik pembangkang - telah ditonjolkan agar kelihatan bersalah “di mata umum sebelum beliau didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah”.

Isu yang dipertikaikan itu, mengapa SPRM hanya bertindak terhadap laporan rasuah yang dikemukakan oleh Gerak dan tidak bertindak terhadap puluhan laporan rasuah seperti yang dikemukakan oleh Badrul Hisham pada 2 Januari?

Mengapa pula ketua pesuruhjaya SPRM mengumumkan mengenai kes menteri besar Selangor kepada media tetapi hanya mendiamkan diri dalam isu siasatan terhadap Musa dan Abdul Gani yang telah selesai disiasat?

Apakah SPRM hanya akan bertindak kepada pimpinan Pakatan Rakyat?

Kita juga boleh lihat contoh yang sama berlaku di Perak bagaimana Speaker DUN V Sivakumar dipanggil oleh SPRM negeri tersebut sehari selepas Umno membuat laporan terhadapnya berkaitan dengan isu penggantungnya Zambry Abdul Kadir dan exco-exconya?

Apakah perkaitan di antara SPRM, Umno dan Gerak? Apakah ketiga-tiga organisasi ini mempunyai perkaitan kerja?

Berdasarkan tindakan-tindakan SPRM tersebut, yang dilihat sebagai berat sebelah dan seringkali membuat pendakwaan memilih-milih, dua peristiwa besar telah berlaku yang boleh dilihat sebagai manifestasi hilangnya kredibiliti SPRM di mata rakyat.

Sehari selepas SPRM dilancarkan oleh perdana menteri, dua peristiwa besar telah menggemparkan SPRM.

Pada 25 Febuari lepas, Sekretariat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) - sebuah organisasi yang menghimpunkan anak muda dari pelbagai latar belakang - membuat lawatan mengejut di pejabat SPRM di Putrajaya.

Selain melawat, SAMM membakar dokumen-dokumen rasuah yang pernah dihantar kepada suruhanjaya itu sebagai tanda mereka telah hilang keyakinan terhadap badan pencegahan rasuah yang dilihat berat sebelah dan membuat pendakwaan memilih-milih.

Acara tersebut menjadi bertambah lucu apabila pengawal keselamatan yang bertugas di pejabat SPRM gagal untuk memadamkan dokumen-dokumen yang sedang terbakar.

Pada sebelah petang hari yang sama, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menghadiahkan seekor lembu ke pejabat SPRM Selangor sebagai simbol bahawa SPRM telah menjadi lembu kepada parti politik tertentu.

Kedua-dua peristiwa ini harus dipandang serius oleh SPRM untuk memperbetulkan arah dan hala tuju organisasi tersebut.

Oleh kerana suruhanjaya itu masih baru, masih belum terlambat untuk organisasi itu kembali ke landasan yang betul.

Peristiwa membakar dokumen dan menghantar lembu bukanlah petanda yang baik bagi organisasi yang baru sehari dilancarkan.

Jika tidak berubah, SPRM akan gagal untuk melaksanakan wawasan Abdullah untuk mereformasikan badan tersebut.

Oleh kerana wang gaji pesuruhjaya, pegawai dan pekerja SPRM dibayar oleh rakyat, maka badan ini haruslah mempunyai tanggungjawab kepada rakyat. Jangan sampai rakyat hilang keyakinan, buruk padahnya!

Posted in Uncategorized | Comments (0)

gambar semasa penamaan calon di bukit gantang

March 30th, 2009

sila ke sini untuk gambar yang lain.

Posted in Uncategorized | Comments (0)

Ehh.. Kenapa Warna Hijau?

March 27th, 2009

Semua berkerut tengok warna hijau. Cuak.. cuak..

Posted in Uncategorized | Comments (0)

Mencari Khalifah Untuk Selamatkan Bumi Yang Parah

March 27th, 2009

““Wah, tahun 2000 nanti umur aku sudah 25 tahun! Macam manalah agak hidup pada masa itu?” saya bermonolog sendirian di bangku rehat.

Pemandangan dari kerusi favourite saya itu sangat mendamaikan. Padang sekolah yang luas terbentang, bukit SIS yang menghijau di seberang sana, pohon pine meliuk-liuk disapa bayu, kerusi batu yang tua dan usang itu adalah tempat saya mencari kerehatan selepas penat mengulangkaji pelajaran dan melayan 1001 kerenah manusia di sekolah.
Ketika itu saya baru berusia 17 tahun.

Mungkin tanpa sedar, salah satu sebab mengapa saya amat sayangkan Sekolah Izzuddin Shah, adalah kerana sejuknya sekolah itu dengan alam sekitar yang nyaman, biar pun ia terletak di tengah-tengah hiruk pikuk bandaraya Ipoh. Kerusi di tepi padang sekolah itu pula, adalah tempat saya berangan-angan, melihat masa depan.

Ketika itu pelbagai imaginasi dibuat tentang milenia baru nanti.

Saya masih ingat, Bing dan Bong dalam rancangan belajar Bahasa Inggeris di TV Pendidikan. Mereka duduk di rumah seperti UFO dan hanya makan pil untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan malam. Dalam hangat-hangat era kebangkitan Islam, al-Arqam juga menerbitkan majalah Dunia Baru Islam yang penuh ilustrasi futuristik, manusia berserban dan berjubah mengendalikan kereta terbang dan macam-macam lagi.

Polis pula mendenda pesalah laku di jalan raya dengan istighfar 100 kali dan bersedekah kepada fakir miskin.

Hebatnya bayangan manusia tentang tahun 2000.

Rupa-rupanya tahun 2000 manusia masih manusia yang sama. Mereka bersarapan dengan roti telur yang sudah tidak dibubuh bawang, mereka makan tengah hari dengan nasi berlaukkan ikan patin yang dibela dalam sangkar, dan mereka makan malam dengan nasi lemak panas yang dahulunya hanya kedapatan di pagi hari.

Oh ya, selepas Asar mereka makan lemang dicicah rendang yang dibeli di tepi jalan. Kalendar masih berbulan jauh menuju Syawwal.

Ya, manusia masih manusia yang sama.

Tetapi selera mereka sudah berbeza.

Selera yang besar itu menuntut dunia untuk tunduk memperhambakan diri kepadanya, biar pun dia tidak pernah bertanya dia itu hamba kepada Siapa!

Tahun 2000, manusia masih manusia yang sama, tetapi dunia semakin menderita. Hutan musnah, siang makin panas, hujan macam langit nak runtuh, banjir sudah tidak mengira musim. Sungai kotor berganda-ganda, air tercemar kotor penuh onar.

Dalam tafakur saya memikirkan akan hal ini, sahabat saya Erwan Johari menghulurkan kaset rakaman lagu baru ciptaannya. Saya diberi kepercayaan menulis lirik untuk lagu itu.

Inilah hasilnya:

Dunia Ini - Usrah Al-Firdaus

DUNIA INI

Dunia ini indah cantik dipandang
Rahmat Allah kepada hamba-Nya
Suria tersenyum riang insan aman bahagia
Menikmati kasih sayang-Nya

Dunia ini insan hidup harmoni
Dengan keadilan Ilahi
Pemerintah bertaqwa rakyat taat setia
Menjunjung Islam yang mulia

Sayangnya itu cuma semalam
Manusia lupa pada Tuhannya
Pohon rebah ke bumi gunung runtuh berkecai
Rakusnya hawa nafsu mereka

Bumi merintih hiba Tuhan semakin murka
Lantaran makhluk yang durhaka

Dunia ini selamatkan segera
Dari tangan insan durjana
Membina kesombongan lupa kemanusiaan
Bencana tak berkesudahan

Dunia ini kembalikan segera
Kepada sistem Penciptanya
Pemerintahan Islam rahmat untuk semua
Adil, diberkati dan saksama

Malangnya jika kita semua
Lupa kepada janji Tuhan
Islam penyelesaian, tiada dua dan tiga
Sejarah telah membuktikan

Bumi merintih rinduTuhan terus menunggu
Insan pulang ke pangkuan-Nya

LAGU: ERWAN JOHARI
LIRIK: HASRIZAL ABDUL JAMIL
PERSEMBAHAN: USRAH AL-FIRDAUS
ALBUM: DUNIA INI (1996 JORDAN)

Sesungguhnya semakin tinggi semangat Islam seseorang, semakin bersungguhlah dirinya bertindak menyelamatkan alam. Isu alam sekitar bukan agenda NGO, sebaliknya ia adalah isu yang mesti dijuarai oleh setiap pejuang Islam. Amat kekok memikirkan manusia memperjuangkan segala yang diperjuangkannya atas nama Islam, tetapi memejamkan mata terhadap kemusnahan yang menimpa Bumi yang satu ini, tapak untuknya sujud sebagai hamba, dan berdiri sebagai khalifah-Nya.

Berusahalah hari ini untuk menyelamatkan hari esok. Selamatkan dunia, selamatkan manusianya. Selamatkan generasi pewaris masa depannya.

Saya teringat kepada dialog lebih setahun yang lalu semasa saya dan rakan-rakan peserta dari seluruh dunia bersidang di Inter-Civilizational Youth Engagement Program (IYEP):

Semua orang bercakap tentang remaja. 90% berbincang tentang produk yang ingin dijual kepada remaja. Hanya 10% sahaja yang berminat untuk berbincang bagaimana menyelamatkan remaja. Dan dari 10% itu, hanya segelintir yang memindahkan perbincangan kepada agenda. Moga kita termasuk di dalam segelintir yang kecil itu!

Dan alam yang mahu diwariskan kepada generasi anak-anak kita, juga perlu diselamatkan. Biar pun agendanya besar, bertindaklah pada upaya masing-masing biar sekecil mana pun ia.

Saya menyeru para pembaca untuk menjayakan kempen EARTH HOUR 2009 dengan memadamkan semua alat elektrik sedaya mungkin selama satu jam pada 8:30 malam, Sabtu 28 Mac 2009.  Setiap rumah yang berpatisipasi, menyumbang kepada penjimatan sejumlah besar penggunaan tenaga, dan mencetuskan kesedaran yang amat payah untuk diketengahkan di era AKU TIDAK PEDULISMA masa kini.

Selamat bertindak.

Posted in Uncategorized | Comments (0)

Calender 2008

September 2010
M T W T F S S
« Oct    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Archives

JOIN FORUM

Join aic

AIC JOHOR

Photobucket

PAS FOR ALL

pas2u

Ezi Cookies

Corporate Hamper

Bebaskan Palestin!

Bebaskan Palestin!