April 17th, 2009
Oleh Kelab AIC
8 Mac 2008 menyaksikan rakyat Malaysia telah meletakkan satu batu asas penting di dalam sejarah sosio-politik negara: penolakan ke atas politik perkauman sempit. Ini bersesuaian sekali dengan iltizam Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lewat Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafazkan beliau tatkala laungan merdeka bergema di udara pada pagi 31 Ogos 1957:
Tanah Melayu (kini Malaysia) akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa..
Semangat dan roh perpaduan ini jelas sekali melangkaui sempadan ras dan agama. Integrasi sosial adalah sesuatu yang luhur dan perlu dibentuk melalui perpaduan dan persefahaman yang utuh di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.
Seruan Utusan Malaysia melalui siaran 15 April 2009 antara lain menyeru agar bangsa Melayu bersatu untuk ‘berhadapan dengan bangsa lain”. Apakah rasional Utusan tergamak untuk mengeluarkan berita sedemikian rupa yang sangat tebal sentimen perkaumannya?
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) bersetuju bahawa Melayu perlu bersatu, tetapi bersatu di dalam konteks memimpin bangsa-bangsa lain untuk sama-sama memajukan dan mengekalkan keamanan negara. AIC yakin dan percaya bahawa segenap lapisan generasi muda rakyat Malaysia menolak sama sekali unsur penyatuan hanya untuk menindas dan bersaing secara tidak adil dengan bangsa lain.
Utusan Malaysia, sebagai lidah rasmi pemerintah khususnya Umno sewajarnya bertanggungjawab untuk mengajak rakyat agar keluar daripada kepompong perkauman, sejajar dengan konsep “Satu Malaysia” yang digagaskan oleh Perdana Menteri yang baru. Tetapi adalah sangat mendukacitakan, dalam keadaan Malaysia hampir menjangkau 52 tahun kemerdekaan, Utusan masih lagi memainkan polemik perkauman sempit sebagai modal politik murahan.
Justeru, AIC menolak sebarang usaha menyemai benih kebencian antara kaum yang ligat dimainkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Sudah sampai masanya muafakat antara Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain bangsa dipupuk secara sihat dan segar tanpa ada elemen penindasan ke atas mana-mana bangsa mahupun agama sekali pun.
Adalah lebih wajar bagi Utusan Malaysia, selaras dengan tagline mereka iaitu “Penyebar Fikiran Rakyat” menyebarluas agenda integrasi nasional yang memupuk semangat cintakan negara melangkaui sempadan perkauman, bukannya berkelakuan sebagai “Penyebar Perpecahan Rakyat”.
Kelab Anwar Ibrahim (AIC)
Posted in Uncategorized | Comments (0)
April 10th, 2009
KUALA LUMPUR, 10 April : - Berikut adalah beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Badrul Hisham dalam blognya mengulas keputusan dua anggota UTK, Azilah dan Sirul yang dihukum gantung sampai mati dalam kes Altantuya Sharibuu iaitu :
1.Azilah dan Sirul tidak pernah kenal Altantuya, apa motif pembunuhan ? Rogol, Rompak..? Mereka ialah anggota UTK yang berdisiplin dilatih mengikut arahan.
2.Mana senjata pembunuhan, dalam kenyataan beramaran yang dibuat Sirul dia mengaku menembak Altantuya tetapi kenapa senjata pembunuhan tidak wujud dalam perbicaraan?
3.Bagaimana rekod kemasukan Altantuya tidak wujud dalam rekod imigresen sebaliknya ada orang dihukum mati dalam negara yang tidak ada rekod Altantuya masuk ?
4.Mengikut penulis dari Perancis dia mengatakan maklumat pembunuhan Altantuya yang dibunuh kerana melindungi transaksi melibatkan wang besar hasil jual beli kapal selam lengkap tersimpan ditangan agen perisikian Russia…. apa sebenarnya berlaku ?
5.Kenapa Azilah dan Sirul diberi keistimewaan tidak memperlihatkan wajahnya sepanjang keluar dan masuk mahkamah ?
Dalam pada itu Herman Samsudin menulis di sebuah laman web juga turut mempersoalkan bahawa rakyat diluar khususnya keluarga mangsa pastinya ingin melihat wajah kedua-dua tertuduh itu di mana sebelum ini, hanya wajah tertuduh ketiga yang telah dibebaskan, Abdul Razak Abdullah Baginda sahaja yang dapat dilihat.
Katanya sebelum ini kes Mona Fandey yang membunuh seorang exco kerajaan negeri Pahang, Dato’ Mazlan pada 1993. Wajah beliau sebagai tertuduh begitu senang diambil oleh wartawan.
Begitu juga dengan kes yang melibatkan Dato’ Mokhtar Hashim, seorang mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib-Kedua-dua mereka adalah pimpinan Umno Negeri Sembilan.
Menurut web tersebut masyarakat dunia melihat perbicaraan kes ini menjadi pelik dengan apa yang dilakukan oleh Azilah dan Sirul yang sentiasa bertopeng ketika muncul dikhalayak ramai.
“Sehingga ada teori-teori nakal yang mengatakan bahawa hukuman gantung akan diberikan bagi menutup kes ini walaupun Sirul mendakwa ada dalang lain di sebalik kes ini.
“Walaubagaimana pun, ketika hukuman mati yang hanya dihadiri orang-orang tertentu, mereka tidak digantung. Yang digantung adalah orang lain yang sememangnya ada kes untuk digantung tetapi tidak sepopular mereka,” katanya dalam Buletin Online.
Dalam teori rambangnya itu beliau mengatakan bahawa kemudian mereka akan dibebaskan senyap-senyap dan ditukar identiti sebelum dihantar ke luar negara.
Kes akan ditutup begitu sahaja dan dalang tidak akan dicari lagi samalah seperti kes Norita yang kini sudah senyap sepi selepas Hanif Basri dibebaskan.
“Sesiapa pun boleh reka teori mereka, tapi kita harus yakin dengan undang-undang dan kredibiliti Polis.
“Dalam apa jua keadaan rakyat tetap berharap untuk melihat wajah kedua mereka. Sekurang-kurangnya bila lihat wajah mereka cerita plot yang direka-reka ini akan mati begitu sahaja,” katanya. Harakahdaily.
Posted in Uncategorized | Comments (0)
April 9th, 2009

Posted in Uncategorized | Comments (0)
April 9th, 2009
Pakatan Rakyat sedia mentadbir Johor
Kejayaan Pakatan Rakyat memerintah beberapa negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu mendorong PR di negeri ini mencari jalan serta melipatgandakan usaha bagi menuruti jejak langkah negeri-negeri tersebut.
Kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat ini terbukti apabila mereka sentiasa duduk semeja berbincang serta merancang bagi merealisasikan matlamat dan hala tuju perjuangan gabungan itu pada masa depan.
“Apa yang kita lakukan ini menunjukkan bahawa kita memang serius untuk mengambil-alih pemerintahan negeri ini dari BN pada PRU akan datang; hasrat dan cita-cita ini tidak mustahil untuk menjadi kenyataan jika semua pihak terus konsisten dan ikhlas untuk membela nasib rakyat,” kata Pesuruhjaya PAS negeri, Dato� Dr Mahfodz Muhamad selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat Johor di Skudai, 13 Mei lalu.
Hadir sama pada perjumpaan itu ialah Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Haw, Pengerusi KeADILan Johor, Abdul Halim Dawam, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan para pemimpin Pakatan Rakyat Johor.
Pakatan Rakyat Johor mempunyai lima wakil di Dun Johor iaitu Dr Mohamad Taslim (Maharani), Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh (Sungai Abong), Dr Boo Cheng Haw (Skudai), Ong Kow Meng (Senai) dan Ng Lam Hua (Mengkibul).
Menurut Dr Mahfodz, berbagai perkara telah dibincangkan dan dipersetujui pada pertemuan kali ini.
“Saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi terhadap masa depan Pakatan Rakyat di negeri ini berasaskan kepada keputusan PRU lalu.
“Bagaimana pun sokongan rakyat ini masih belum mencukupi bagi PR untuk meraih kemenangan besar sehingga membolehkan kita memerintah negeri ini, begitu pun kita tetap bersyukur dengan kemenangan beberapa kerusi Dun dan satu Parlimen di Johor, ini adalah petanda yang sangat baik bagi Pakatan Rakyat negeri ini.
“Kita mengharapkan kemenangan yang lebih besar akan diperolehi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Posted in Uncategorized | Comments (0)
April 9th, 2009

KUALA LUMPUR, 8 April (SK): Hari ini rakyat menghantar mesej yang jelas. Mereka mahukan ‘Perubahan’ yang nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa.
Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim berkata demikian di sidang akhbar yang berlangsung di Ibupejabat KeADILan, Petaling Jaya hari ini dengan penuh semangat bahawa tiga pilihanraya kecil ini menunjukkan rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak.
“Syabas saya ucapkan kepada pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai kerana sokongan yang anda berikan menjadi bukti kekuatan rakyat untuk berani berhadapan dengan kekuasaan. Undi yang telah anda berikan untuk Pakatan Rakyat menjadi saksi akan kemahuan yang kuat menuntut Perubahan,” kata Anwar.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada para calon dan petugas Pakatan Rakyat kerana bekerja keras untuk memastikan kejayaan hari ini dengan kemantapan kerjasama di antara Parti Keadilan Rakyat, Pas dan Dap semakin hari semakin utuh.
Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui perjuangan menuntut perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama.
Sementara itu, kemenangan Nizar Jamalauddin di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan Kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihanraya diadakan di seluruh Negeri Perak.
Kepada pendukung Pakatan Rakyat di Batang Ai pula, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak.
“KeADILan dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang membawa perubahan kepada rakyat Negeri Sarawak,” Tegas Anwar.
Sekali lagi kewibawaan proses pilihanraya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut membuka ruang kepada penipuan.
“Ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras membawa perubahan bukan sahaja di Batang Ai, tetapi juga di segenap pelusuk tanah air,” tambah beliau.
Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum.
“Mereka berkata, Umno telah membuat kesilapan pada masa lalu dan ia kini harus diberi peluang di bawah kepimpinan Najib, mereka membawa balik Dr Mahathir itulah masalahnya,” kata Anwar di sidang akhbar pagi ini.
“Mereka mengutarakan konsep perpaduan Najib - Satu Malaysia - di samping isu Ketuanan Melayu, namun semua kempen tersebut tidak berhasil,” tempelak Anwar.
Beliau menegaskan supaya Najib mesti bersedia menerima hakikat bahawa gesaannya untuk perubahan dan pembaharuan telah gagal.
“Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ianya tidak akan menghambat Pakatan Rakyat dari menunaikan janji yang telah diberikan serta tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat,” jelas Anwar dalam kenyataan beliau.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda Perubahan dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini,” kata anwar mengakhiri sidang akhbar beliau hari ini.
Posted in Uncategorized | Comments (0)
| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Oct | ||||||
| 1 | 2 | 3 | 4 | |||
| 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 |
| 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 |
| 19 | 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 |
| 26 | 27 | 28 | 29 | 30 | 31 | |