RAMADHAN DATANG LAGI !

By | June 28, 2014

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Ramadhan datang lagi !

Pejam celik pejam celik, sedar tak sedar cepat benar masa berlalu. Terasa baru saja menyusuri Ramadhan yang lalu, kini Ramadhan datang lagi !

Alhamdulillah. Syukur amat justeru masih diberikan kesempatan untuk menikmati lagi keindahan dan keberkatan Ramadhan 1435 Hijrah esok insyaallah…  🙂

Mengimbas saat membawa emak keluar bersiar-siar sambil membeli sedikit keperluan dapur di pekan Jitra petang semalam, suasana lebih sesak daripada biasa. Gerai, warung dan restoran meriah dengan orang ramai yang menjamu selera. Lebih meriah daripada hari-hari biasa.

Terlintas di fikiran, hari-hari akhir Sya’aban ramai yang kalut memenuhi selera masing-masing bagaikan sudah tidak akan ada hari lain lagi selepas 30 Ramadhan nanti .. 😀 Hmm, macam-macam ragam manusia kan.

Mungkinkah ini menggambarkan ‘ ketakutan ‘ kita terhadap Ramadhan Al-Mubarak atau sekadar senario  biasa rakyat Malaysia yang terkenal dengan budaya ‘makan-makan’ ..

Tidak berniat untuk memperkatakan hal ini dengan lebih panjang. Cuma sekadar menzahirkan apa yang terlihat sebagai perkongsian untuk direnung-renungkan. Itu baru ragam sehari dua sebelum datangnya puasa, belum lagi melewati hari-hari Ramadhan yang banyak memperlihatkan watak sebenar manusia.

Jom sama-sama kita berpuasa, merebut pelbagai ganjaran yang tidak ditawarkan pada bulan-bulan lain. Moga-moga keberkatan berpuasa pada Ramadhan 2014 ini  berjaya kita gandakan pada tahun-tahun sebelumnya.

” Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.. “ ( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Huraian Hadith:
Pengajaran Hadis:
i) Puasa merupakan perkara ˜dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.
ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.
iii) Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.
iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.
v) Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

Sumber : JAKIM

Ramadhan datang lagi ! Jangan disia-siakan begitu saja takut kalau-kalau ini Ramadhan terakhir buat kita.

Selamat berpuasa khas buat semua rakan taulan, rakan blogger dan pembaca blog Kongsi Macam2 Cerita.  Mudah-mudahan amalan puasa dan amal ibadat kita diterima Yang Maha Esa.

 

Salam ukhwah buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. So, ada komen tak ? Jika ada, jangan segan2 untuk tinggalkan melalui ruangan komen di bawah. Kalian juga boleh gunakan borang ‘Hubungi’ untuk sebarang pertanyaan , cadangan mahupun pengiklanan ( bagi yang berminat kalau-kalau ada 😀 ). Jika sudi, follow saya sekali ye 😀 …. Terima kasih dan jemput datang lagi!

Facebook Twitter 

4 thoughts on “RAMADHAN DATANG LAGI !

    1. SisHaza Post author

      Yup, peluang lipatgandakan pahala yg jarang2 datang kena direbut sepenuhnya kan

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Follow Me