MENGAPA RAMAI ORANG TAK SUKA HUJAN

Ramai orang tak suka hujan. Padahal hujan tu adalah rahmat. Hujan tu juga adalah rezeki. Asal hujan aje mengeluh,asal hujan aje merungut. Mengapa ramai orang tak suka hujan ?

Ye, agaknya tentu ada banyak sebab juga mengapa ramai orang tak suka hujan. Di sini Cik Kiah senaraikan  sebab-sebab ramai orang tak suka hujan. Bukan apa ini saja ilham yang datang dalam minda ketika ini. Masa menulis ni pun tengah hujan lebat di rumah mertua. Habis semua plan nak berjalan ke Pasar Payang, Desa Murni dan Mydin Kuala Terengganu terpaksa di  KIV.  Ohh  ;(

 Ini bukanlah berdasarkan mana-mana kajian daripada para cerdik pandai pun ye. Sekadar kajian Cik Kiah,  mengagak berdasarkan pengalaman dan pemerhatian sahaja. Mungkin betul mungkin juga tidak.. wallahualam.

Sana-sini jalan jadi becak. Apatah lagi kalau jalan tu jalan tanah merah, tak bertar atau berturap. Melekat habis pada tumit-tumit kasut.  Nak bergaya jadi langsung tak ada gaya !

Bukan saja di luar, dalam rumah pun jadi becak. Selalunya hal ni berlaku kerana ada tiris atau kebocoran pada bumbung rumah yang tak sempat dibaiki. Terpaksalah tadah dengan besen atau baldi.

50-50 nak pergi ke tak nak pergi ke rumah kenduri sebab nanti confirm susah cari tempat parking, lepas tu mesti kena bersesak-sesak dan berebut-rebut nak mencari tempat duduk di khemah tetamu. Kerusi pun banyak yang lembap sebab kena tempias hujan. Satu lagi payung-berpayung ni pun menyusahkan. Kena pula bawa anak kecil bersama. Yang berdukung,  yang merengek di pegangan. Alahai susah betul.

Baju dibasuh lambat kering. Makan hari juga tu . Bau pun ada sedikit hapak sebab agak lama terdedah kepada kelembapan. Masalah ampaian pula tak cukup jadi terpaksa sidai atau jemur sana-sini. Sidai di belakang kerusi atau gantung dekat dengan kipas. Menyusahkan betul lah ..

Semua aktiviti jadi tergendala. Nak keluar ke bank, nak pergi bayar bil, nak pergi kerja atau nak ke pasar hatta nak window shopping bukannya tak boleh sebab zaman sekarang ni boleh dikatakan semua orang ada kereta. Tapi masalahnya sebaik keluar dari kereta separuh lutut kain atau seluar dipakai lencun  dek tempias hujan lebat walaupun sudah berpayung. Tak selesa, merimaskan dan sejuk pula tu. Malu pun ada.

Sama juga jika melakukan perjalanan jauh. Perjalanan jadi kurang lancar. Apabila kurang lancar, maknanya akan lewat tiba ke destinasi. Itu belum lagi cerita apabila perut pula tiba-tiba meragam. Nak mencari tandas masjid, tandas awam atau tandas stesen minyak dalam keadaan hujan lebat satu perkara yang cukup menyeksakan juga.

Sejuk sangat. Air dari paip yang mengalir ke kolah  tu rasa macam air batu. Menggigil dibuatnya. Kalau boleh tak mandi pun tak mengapa. Tapi bagi orang dah kahwin, ada ketika-ketikanya sejuk ke, macam air batu ke wajib kena mandi juga hihi 😀 . Opps

Dah lah sejuk, asyik nak terkucil aje. Terpaksa berulang-alik ke tandas. Berulang-alik keluar masuk ke tandas juga menyebabkan becak pada lantai rumah. Se’eh kata orang Teganu hihihi.

Nak keluar menoreh atau ke laut pun tak boleh sebab hujan lebat serta ombak besar. Kuranglah rezeki hari ini.

Sebenarnya ada banyak lagi sebab mengapa ramai orang tak suka hujan. Hakikatnya, setiap titisan hujan adalah rezeki yang Allah turunkan kepada manusia serta makhluk ciptaanNya yang lain. Hujan juga adalah rahmat.

Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya) .” (Al-A’raf : 57)

Jika hujan yang turun membawa banyak ketidakselesaan kepada manusia, realitinya ada kebaikan di sebaliknya.

Bagi seorang penduduk kampung yang kerja hariannya menahan lukah di sungai, hujan membawa rezeki lebih kepadanya kerana ketika inilah lebih banyak ikan yang ‘mabuk’ serta tersangkut pada lukah. Bukan anda tidak tahu, ikan air tawar ada pasaran tersendiri dan harganya adakala mengalahkan harga  ikan air masin. Buktinya, jika anda melalui kawasan Gemuroh, Kuala Berang, Temerloh  dan sebagainya pada musim hujan, akan terdapat ramai penjual ikan air tawar seperti haruan, toman, tapah, patin,sebarau, tengas dan sebagainya berada di sepanjang jalan dengan ikan-ikan itu bergantungan menunggu untuk dibeli.

Begitu juga dengan penjual ubi, musim hujan adalah musim rezeki buat mereka kerana ubi-ubi ini mendapat permintaan luarbiasa daripada orang ramai. Buktinya sepanjang jalan dari Machang Kelantan menuju ke Jertih, anda akan bertemu satu tempat ( maaf saya tak ingat namanya ) di mana terdapat deretan penjual ubi seperti ubi keledek, keladi,ubi kayu dan sebagainya sibuk menjual hasil berbudi kepada tanah itu. Semua ini lebih rancak pada musim hujan.

Hujan lebat yang turun juga sebenarnya membantu ‘mencuci dan meneutralkan’ ruang udara atau atmosfera bumi daripada segala racun dan sisa toksik yang terhasil daripada operasi kilang, asap dari ekzos  kenderaan dan sebagainya. Mungkin kita lupa tentang itu 😐

Selain menyegarkan pohonan serta tanah  atau sungai yang mungkin sebelum ini kontang, hujan juga membantu petani mengairi sawah mereka yang terletak jauh dari sistem saliran.

Tidakkah itu tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan dan kebesaranNya ? Jadi berhentilah merungut dan bersyukurlah kerana DIA masih mahu menurunkan rahmat buat kita para hambaNya.

Maha Suci Allah

Salam ukhwah buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. So, ada komen tak ? Jika ada, jangan segan2 untuk tinggalkan melalui ruangan komen di bawah. Kalian juga boleh gunakan borang ‘Hubungi’ untuk sebarang pertanyaan , cadangan mahupun pengiklanan ( bagi yang berminat kalau-kalau ada 😀 ). Jika sudi, follow saya sekali ye 😀 …. Terima kasih dan jemput datang lagi!

Facebook Twitter 

6 comments

  1. Lahhh ada jugak macam ni yer..ala lain kali pun boleh ke mydin..kenapa pilih hari hujannya..hehe..saya suka hujan sebab senang nak tidur dan peram kasi lama-lama..hehe

  2. semua yg berlaku ada hikmahnya, tentang kain tu setuju ;), kawan opis suggest saya beli dryer, takpelah setakat hari ini masih mampu utk jemur n angkat jemuran even hari hujan 😉

Leave a Reply to TehR Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Follow Me