Mencari Bahagia

By | December 17, 2014

Dimulakan dengan Bismillah …

Mencari Bahagia ..

Semua orang impikan kebahagiaan. Bermacam cara dilakukan untuk mencari bahagia. Sampai kadang-kadang  terlajak laris masuk ke rumah orang untuk mencari bahagia. Terlupa batas dan status kita sebagai suami, isteri, ayah atau ibu sesorang. Terlupa kita seketika, yang bahagia itu sebenarnya dekat,hampir benar dengan kita. Terlupa bahagia itu ada dalam genggaman,  ada di rumah sendiri.

Cuma mungkin ia tak kelihatan kerana kita sibuk mencari dan terus mencari kesilapan pasangan, kesilapan anak-anak. Ia terlindung oleh amarah yang tak terbendung. Ia tersembunyi oleh sebab kejahilan kita sendiri.

Mencari bahagia , dalam erti kata bahagia sebenar-benar bahagia bukanlah sesukar mana. Kalau kita kembali kepada fitrah , menjadikan yang baik sebagai panduan dan menjauhi  yang buruk sejauh-jauhnya, maka mencari bahagia itu pasti saja menjadi sangat mudah.

Tak perlu menunggu 13 hari lagi sempena menjelangnya tahun baru. Mulakan saja mencari bahagia dari sekarang. Cari bahagia mengikut 8 amalan sunnah Rasulullah SAW seperti yang tersenarai di bawah. InsyaAllah bahagia hingga ke akhir hayat.

  • Bersikap Menyayangi

Buka pintu hati untuk belajar menyayangi mereka yang ada dalam lingkungan hidup kita tak kira sama ada ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, adik-beradik, sanak-saudara, jiran tetangga, rakan-rakan hatta makhluk Allah yang bernama haiwan TANPA SEBARANG SYARAT sebelum meminta dan berharap untuk disayangi. Sayangi mereka seikhlas hati dan menerima mereka seadanya. InsyaAllah kita akan disayangi sepenuh hati seperti mana kasih sayang yang  ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat , membuatkan mereka yang datang ke Madinah  ( pada zaman itu ) terkesan dengan cara dan ajaran Islam yang lemah-lembut dan berhemah lantas memeluk Islam tanpa sebarang paksaan.

  • Lafazkan Salam

Sudah diketahui bahawa hukum melafazkan salam itu sunat tanpa mengira batas umur, pangkat mahupun darjat. Lafaz salam yang ikhlas mengundang rahmat yang besar daripada Allah SWT kepada si pemberi salam dan orang yang menjawabnya. Jadi, dalam usaha mencari bahagia, biasakan diri dan anak-anak untuk memberi salam sesama ahli keluarga  walaupun ketika berada di bawah satu bumbung. Lafazkan salam sebelum keluar dan masuk rumah, lafazkan salam sebelum masuk tidur. Kebiasaan yang mudah tapi mampu memupuk rasa hormat dan mesra kepada pengamalnya.

  • Senyumlah

Senyumlah walaupun ketika itu hati kita sedang terguris ,menangis dan  kecewa . Senyumlah seperti akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Biarlah tidak berbalas, senyumlah dengan ikhlas dan niatkan kerana Allah SWT. InsyaAllah, rahmat Allah akan mendekat dan hati jadi lebih tenang.

  • Jelaskan Sejelas-jelasnya

Dalam berbicara,tak kira sama ada dengan pasangan atau anak-anak,  terangkanlah sesuatu perkara itu dengan sejelas-jelasnya. Bukan semua orang diberikan hati yang terang, cepat memahami sesuatu perkara hanya melalui kias ibarat. Ada yang perlu diberikan penerangan panjang lebar walaupun pada hal-hal yang remeh. Ini kerana tahap pemahaman antara seorang individu dengan individu lain adalah berbeza bergantung kepada penerimaan atau persepsinya terhadap sesuatu perkara. Jadi bagi mengelakkan salah faham, prasangka dan sebagainya bercakaplah dengan jelas. Juga secara berhemah pastinya.

  • Solat Berjemaah

Dikatakan bahawa solat berjemaah adalah ‘magnet’  berkuasa yang dapat menarik rahmat Allah masuk ke dalam rumah tanpa sebarang halangan selain meraih pahala berganda.

” Jika kita menjaga solat, Allah SWT akan menjaga kita. Sayidatina Aisyah r.a pernah menceritakan apabila azan dilaungkan, Nabi Muhammad SAW seakan-akan sudah tidak kenal kami ( isteri-isteri ) lagi. Pernah suatu malam, Nabi Muhammad SAW solat sehingga lebih 6 juzuk Al-Quran dan sepanjang solat malam itu, Baginda menangis kerana benar-benar khusyuk di dalam solatnya. Orang yang mendustakan agama adalah orang yang tidak khusyuk dalam solatnya,” tegasnya.

  • Solat Sunat Tahajud

Untuk mencari bahagia dan ketenangan hidup, amalkan solat sunat Tahajud. Andai kata tidak berupaya bangun malam, memasang niat untuk bangun mengerjakannya sudah diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

  • Solat Sunat Dhuha

Solat yang membuka jalan ke arah rezeki yang lebih berkat  dalam usaha membina keluarga. Bukan sahaja rezeki dalam bentuk harta benda atau wang ringgit tetapi juga membantu melahirkan anak-anak soleh dan solehah yang mudah dibentuk akhlaknya.

  • Majlis Ilmu ( Taklim )

Menganjurkan majlis ilmu  di rumah sendiri ibarat membina taman syurga yang dihadiri oleh para malaikat. Kumpulkan anak-anak dan ahli keluarga untuk membaca hadis-hadis atau tafsir kitab  akan memupuk kesedaran hidup beragama, hubungan yang lebih akrab dan meraih rahmat serta redha berpanjangan daripada  Allah SWT.

Mencari bahagia itu tidak sesukar yang disangka, jadi mengapa kita merumitkannya ?

p/s : Simpan 25% rasa sayang itu untuk diri sendiri. Andai tersungkur, kita masih bisa bangun untuk meneruskan hidup.

Salam ukhwah buat semua. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini. So, ada komen tak ? Jika ada, jangan segan2 untuk tinggalkan melalui ruangan komen di bawah. Kalian juga boleh gunakan borang ‘Hubungi’ untuk sebarang pertanyaan , cadangan mahupun pengiklanan ( bagi yang berminat kalau-kalau ada 😀 ). Jika sudi, follow saya sekali ye 😀 …. Terima kasih dan jemput datang lagi!

Facebook Twitter 

6 thoughts on “Mencari Bahagia

  1. ajumohit

    betul kak setuju sangat, yang penting didikan asas agama dan semoga asas yang diberikan adalah permulaan untuk pengakhiran yang terbaik

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Follow Me